Memandangkan 2024 semakin hampir ke penghujungnya, saya mendapati diri saya mengimbas pengalaman saya menulis untuk ruangan ‘Kaki Makan’ di akhbar ini.
Ruangan ini bukan setakat mengetengahkan makanan, malah mereka di sebalik hidangan.
Setiap jerih perih dan semangat kental yang mereka tunjukkan untuk bertahan dalam industri makanan & minuman (F&B) di Singapura turut dapat dijadikan iktibar.
Daripada gerai penjaja sederhana hinggalah ke tempat makan mewah, dedikasi untuk menghidangkan makanan amat menyentuh jiwa.
Golongan yang saya temui pada 2024 menunjukkan saya erti daya tahan, kreativiti dan dedikasi usahawan Melayu yang ingin terus mengubah landskap makanan halal di Singapura.
Salah satu contoh ialah perniagaan Julie Bakes yang diasaskan oleh Cik Juliana Jahayer.
Kedai roti itu telah mengharungi cabaran sejak penubuhannya.
Cik Juliana bermula secara kecil-kecilan dengan membakar kuih di rumah sambil menceburi kerjaya dalam bidang logistik.
Beliau akhirnya membuka kedai pertamanya di Baghdad Street pada 2015, kemudian berpindah ke Bussorah Street pada 2022.
“Pelanggan mungkin tidak tahu bahawa ada masa kita menghadapi cabaran untuk mengekalkan perniagaan,” kongsinya.
“Selepas tempoh pemutus litar berakhir, perniagaan benar-benar terjejas kerana ramai yang memilih untuk menjamu selera di luar negara. Terdapat satu ketika apabila Arab Street seakan ‘ghost town’. Alhamdulillah, perniagaan kini perlahan-lahan pulih.”
Sementara itu, pemilik The French American Bakery, Cik Siti Aishah Mohamad Lakhsani dan suaminya pula, mempamerkan semangat ketabahan yang sama.
Pastri sentuhan artisan mereka dengan cepat menjadi popular, tetapi laluannya bukan tanpa halangan.
“Kami menghadapi halangan dalam usaha memulakan kedai roti ini dan beberapa kali ditolak apabila cuba mendapatkan pinjaman bank bagi syarikat kecil dan sederhana (SME),” kongsi Cik Siti Aishah.
Dengan bantuan keluarga dan dengan menjual barangan peribadi, pasangan itu mengubah impian mereka menjadi kenyataan dengan pastri seperti, Almond Croissant, berjaya memikat hati penduduk tempatan dan pelancong.
Bagi Encik Nazrin Shah, pengasas Cuba, pula krisis kesihatan telah diubahnya menjadi peluang.
Selepas diserang angin ahmar pada awal 2024, beliau melancarkan perniagaan di rumah pada Ramadan.
“Selepas mengalami strok, saya mahu berkongsi hidangan ini dengan orang ramai, terutamanya semasa Ramadan, sebagai cara untuk saya berbakti kepada masyarakat,” katanya merujuk kepada hidangan nasi ulam dan ayam percik.
Inovasi turut memainkan peranan penting dalam membentuk suasana makanan halal Singapura.
Ono Ramen, yang dipimpin oleh Encik Haris Ahmad dan keluarganya, menonjol sebagai restoran ramen ala Indonesia pertama di Singapura.
Menggabungkan perisa Jepun dan Indonesia, Encik Haris membawa perspektif segar kepada hidangan kegemaran.
“Saya ingin menunjukkan sesuatu yang baru dan menyegarkan dengan menggabungkan perasa yang ada pada rempah-rempah Indonesia dan ramen Jepun,” jelasnya.
Deli by The Meatery pula menunjukkan komitmen untuk menjalin kerjasama dengan peniaga setempat yang lain.
Bekerjasama dengan kafe tempatan Penny University untuk sajian kopi mereka, Deli by The Meatery menunjukkan kekuatan itu datang hasil bekerjasama dan bukannya bersaing.
“Pendekatan kami ialah jika bahan-bahan kami bermutu tinggi, kami tidak perlu melakukan terlalu banyak untuk menyediakan hidangan itu dan hanya membenarkan bahan itu ‘menyerlah’ dengan sendirinya,” kata pemilik bersama Cik Sophina Smith Mohd Irwan.
Ketahanan budaya penjaja juga wajar mendapat pengiktirafan.
Nasi Ayam Goreng Halia Asli Mat Noh & Rose, yang dikendalikan pasangan suami isteri, telah mengekalkan pengikut setia selama hampir 16 tahun.
“Kami hanya menggunakan bahan-bahan dan resipi yang mudah. Tapi kami tidak lokek dengan kuantiti bahan yang digunakan untuk mendapatkan ayam yang berperisa,” kongsi Cik Rohaya Rose.
“Walaupun ini merupakan sumber makan minum kami, niat kita harus ikhlas dan mengambil peluang ini untuk berniaga sambil bersedekah,” tambah beliau.
Sepanjang 2024, tema yang menonjol ialah peri pentingnya menyokong F&B tempatan.
Di sebalik setiap hidangan, ada cerita.
Di sebalik setiap cerita itu, ada seseorang atau keluarga yang telah mencurahkan jiwa raga mereka dalam perniagaan tersebut.
Sama ada gerai penjaja yang sederhana atau restoran yang bergaya, mereka ini merupakan tulang belakang budaya makanan yang rancak.
Singapura dipenuhi dengan permata tersembunyi, hanya menunggu untuk ditemui dan dihargai.
Jika kita tidak menyokong usahawan F&B kita sendiri, siapa lagi?
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg