Dua warga asing yang didakwa memecah masuk rumah berhalaman di Singapura dikenakan satu lagi tuduhan pecah masuk setiap seorang, melibatkan wang tunai dan barang berharga bernilai lebih daripada $6,000.
Warga China Feng Yunlong, 38 tahun, dan Zhang Yongxiang, 52 tahun, dihadapkan di mahkamah daerah pada 27 Disember dan dituduh memecah masuk sebuah rumah di Zehnder Road, berhampiran Pasir Panjang Road, sekitar 4 petang pada 18 Disember.
Dua lelaki itu didakwa mencuri pelbagai barang, termasuk dompet bernilai $5,000 dan beberapa barang kemas.
Feng dan Zhang kini berhadapan dua tuduhan pecah masuk setiap seorang.
Pada 20 Disember, mereka setiap seorang dihadapkan dengan satu tuduhan bagi kesalahan pecah masuk serupa, lapor The Straits Times (ST).
Mereka dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Greenleaf View, berhampiran Holland Road, pada 16 Disember sekitar 9 malam untuk mencuri dua jam tangan bernilai hampir $9,000.
Polis sebelum ini berkata dua lelaki itu ditangkap pada 18 Disember selepas polis menerima laporan mengenai kes pecah masuk dan kecurian di dua lokasi itu.
Polis mengenal pasti mereka selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) keselamatan di kawasan tersebut.
Mereka menjejak suspek di sebuah hotel di Joo Chiat dan menangkap mereka sekitar 6 petang, kira-kira enam jam selepas laporan polis pertama dibuat pada 18 Disember.
Polis menemui semula dua jam tangan bernilai sekitar $8,800 kesemuanya, beg kantung berjenama bernilai sekitar $5,000, wang tunai kira-kira $3,570 dan pelbagai jenis barang kemas yang dicuri.
Pada 26 Disember, polis membawa pasangan itu ke rumah di Greenleaf View selama 20 minit.
Di sebelah kanan rumah itu terdapat sebuah rumah berkembar yang sedang dalam pembinaan.
Difahamkan bahawa Zhang memanjat ke dalam rumah mangsa dari tingkat tiga tapak pembinaan itu, manakala Feng dipercayai mengawasi keadaan di luar rumah.
Polis tidak menolak kemungkinan Zhang dan Feng terlibat dengan sindiket pecah masuk yang aktif di Singapura pada pertengahan 2024.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa sindiket jenayah antarabangsa memecah masuk rumah-rumah di Singapura dan mencuri sekitar $3.85 juta dari sekurang-kurangnya 10 rumah antara Jun dan Ogos.
Sindiket tersebut kebanyakannya menyasarkan rumah berhampiran Rail Corridor dan sekitar kawasan Bukit Timah Road.
Sekurang-kurangnya sebuah rumah di Windsor Park Road, di kawasan Upper Thomson, juga dipecah masuk.
Kes melibatkan Zhang dan Feng ditangguhkan ke 3 Januari 2025.
Bagi setiap tuduhan pecah masuk, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg