Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi pelancongan atur strategi tangani cabaran umrah ‘DIY’

Tiada lonjakan besar jumlah pelanggan pakej umrah cuti hujung tahun 2024, ada agensi tawar khidmat umrah bernilai tambah
Dec 22, 2024 | 8:13 PM
Agensi pelancongan yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi bahawa mereka turut menawarkan khidmat istimewa demi menarik perhatian orang ramai menempah pakej umrah mereka dalam era di mana ramai selesa mengerjakan umrah ‘DIY’.
Agensi pelancongan yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi bahawa mereka turut menawarkan khidmat istimewa demi menarik perhatian orang ramai menempah pakej umrah mereka dalam era di mana ramai selesa mengerjakan umrah ‘DIY’. - Foto REUTERS

Agensi pelancongan menyaksikan lonjakan besar jumlah pelanggan yang menempah pakej umrah pada 2023, dalam tempoh pasca-Covid-19. Namun, tidak demikian pada 2024.

Meskipun sekarang ada cuti sekolah November dan Disember, beberapa agensi yang dihubungi Berita Harian (BH) menyatakan bilangan pelanggan yang membuat tempahan pakej umrah sama seperti tahun sudah atau berkurangan.

Hanya sejumlah kecil agensi melihat peningkatan besar jumlah pelanggan, hasil usaha mereka memperkenal inisiatif tambah nilai seperti pakej umrah bertema.

Mereka berpendapat keadaan itu mungkin disebabkan ramai orang, terutamanya golongan muda, sekarang lebih selesa menunaikan umrah ‘DIY’, iaitu yang diusahakan sendiri bagi tempahan tiket penerbangan, penginapan hotel dan permohonan visa.

Bagi memastikan mereka tetap berupaya menarik pelanggan bagi pakej umrah, beberapa agensi berkongsi bahawa mereka turut menawarkan perkhidmatan istimewa dan yang bernilai tambah.

Ini termasuk menyediakan khidmat tambahan seperti menyediakan pensyarah khas dan pakej menarik dari segi kos dan kemudahan.

Seberapa boleh, mereka berusaha mengekalkan pelanggan yang mungkin pada awalnya ingin mencuba umrah ‘DIY’.

Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata jumlah jemaah yang menunaikan umrah bersama agensinya berkurangan sekitar 10 hingga 20 peratus dalam musim cuti hujung tahun ini.

Menurutnya, kemerosotan itu disebabkan beberapa faktor, termasuk lebih ramai orang semakin selesa dengan umrah ‘DIY’ dan pada tempoh awal pasca-Covid-19 ramai orang berbondong-bondong memenuhi hajat mengerjakan umrah selepas terhalang oleh sekatan pandemik itu.

“Selepas pelancongan dibenarkan semula dengan berakhirnya pandemik Covid-19, saya rasa ramai yang merebut peluang untuk mengerjakan ibadah umrah ketika itu.

“Jadi kini, permintaan untuk pakej umrah merosot sedikit.

“Pada masa sama, terdapat juga jemaah yang memilih umrah ‘DIY’. Ia kecenderungan yang semakin meningkat secara beransur-ansur kerana kemudahan mengikuti jadual sendiri.

“Agensi pelancongan tidak boleh mengekang jemaah berbuat demikian kerana ia adalah pilihan pelanggan,” tambah Encik Haffidz.

Meskipun jumlah jemaah yang menunaikan umrah bersama agensinya berkurangan pada musim cuti ini, Encik Haffidz berkata beliau tidak terlalu khuatir.

“Kebanyakan klien yang saya kendalikan adalah pelanggan berulang dan mereka tahu mutu khidmat yang kami tawarkan.

“Jadi, saya tidak khuatir akan kemerosotan kali ini dan yakin ia akan kembali kepada keadaan normal pada masa akan datang,” ujar beliau.

Pengarah Sha Travel & Tour Pte Ltd, Cik Hanim Hashim, pula melihat jumlah jemaah umrah yang menempah pakej agensinya pada musim cuti 2024 sama seperti 2023.

Beliau juga tidak terlalu khuatir kerana jumlah keluarga dan individu yang menempah pakej wisata, khusus untuk kumpulan peribadi pada musim cuti sekolah, ke destinasi seperti Turkey, Uzbekistan, Norway, Pakistan, dan juga negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Vietnam, bertambah.

“Kami kini menawarkan pakej pelancongan lebih fleksibel, di mana pelanggan boleh memilih tarikh dan merancang jadual pelancongan yang diinginkan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka,” kata Cik Hanim.

Namun, ada juga agensi yang menerima lebih ramai pelanggan pakej umrah pada cuti ini.

Ketika dihubungi, Pengarah Syukran Travel & Tour, Encik Ismail Sapari, yang melihat peningkatan lebih 50 peratus bilangan jemaah umrah yang dikendalikan agensinya, berkata:

“Tahun ini, kami menawarkan umrah bertema di mana kami membawa jemaah ke tempat-tempat bersejarah yang belum diterokai.

“Jadi, selain menunaikan ibadah umrah, jemaah berpeluang belajar tentang sejarah Islam.”

Dalam pada itu, terdapat agensi yang meningkatkan khidmat mereka bagi memenuhi keperluan terperinci jemaah.

Sebagai contoh, Pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman, berkata agensinya menawarkan kemudahan lebih moden bagi memastikan pengalaman umrah lebih selesa buat jemaah.

“Kemudahan moden di samping pengangkutan awam yang lebih berkesan membuatkan pengalaman umrah lebih selesa bagi ahli keluarga,” ujar Ustaz Nafis.

Travelconnect.sg menikmati peningkatan tempahan sebanyak 30 peratus pada musim cuti sekolah ini daripada 2023.

Mengikut perangkaan laman Umrah Statistics, jumlah penduduk di luar Arab Saudi yang mengerjakan umrah pada 2023 melonjak sekitar 61.8 peratus selepas Covid-19 berakhir, mencapai 13.5. juta orang.

Bagaimanapun, jumlah jemaah yang mengerjakan umrah dalam kalangan penduduk di luar Arab Saudi bagi 2024, sejauh ini hanya 1.6 juta orang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg