Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) akan ditubuhkan sebagai satu lembaga berkanun pada 1 April untuk menyatukan fungsi kesihatan awam bagi mengesan, mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
Bakal mengetuai agensi itu ialah pengarah eksekutif Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Profesor Vernon Lee.
Beliau akan berundur daripada NCID dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CDA pada 1 April.
Dalam satu kenyataan pada 13 Februari, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata dengan penubuhan CDA, ia akan membolehkan pemerintah mengambil tindakan dengan cepat terhadap wabak penyakit sebagai satu usaha kesihatan awam bersepadu, dan “memainkan peranan penting dalam melindungi Singapura daripada ancaman penyakit berjangkit”.
Pada masa ini, usaha ini dibahagikan di antara MOH, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan NCID.
Pembentukan CDA menandakan satu langkah penting dalam usaha Singapura untuk mengukuhkan keupayaannya dalam pengurusan penyakit berjangkit dan kesediaan kesihatan awam, kata kenyataan itu, lapor The Straits Times.
Berikutan pengeluaran Kertas Putih mengenai respons Singapura terhadap Covid-19 pada Mac 2023, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lawrence Wong, memberitahu Parlimen bahawa negara ini akan menubuhkan pusat khusus bagi kesihatan awam untuk menyatukan keupayaan pengawalan penyakit dan pengurusan wabaknya.
Satu Rang Undang-Undang baru yang menetapkan rangka kerja perundangan untuk agensi itu telah diluluskan pada 7 Januari.
CDA bakal memberi tumpuan kepada lima bidang utama:
– Mencegah penyebaran penyakit melalui pendidikan awam, dasar vaksinasi serta langkah pencegahan dan kawalan jangkitan;
– Mengetuai dan menyelaras usaha untuk mengukuhkan kesediaan kesihatan awam terhadap penyakit berjangkit, serta membangunkan vaksin dan menyediakan akses kepada ilmu terapi;
– Mengukuhkan keupayaan pengawasan, meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data untuk memproses jumlah data yang besar;
– Menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kes dan wabak penyakit berjangkit, menyediakan dasar dan cadangan saintifik, melaksanakan langkah kesihatan awam serta sosial semasa wabak; dan
– Menjalankan dan menyelaras penyelidikan kesihatan awam yang akan digunakan untuk menggubal dasar.
Ia juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk mengikuti perkembangan, berkongsi amalan terbaik dan menggubal tindak balas pantas terhadap situasi penyakit yang berkembang di seluruh dunia.
Profesor Lee, 47 tahun, mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam dasar kesihatan awam dan pengurusan penyakit berjangkit.
Profesor adjung di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock itu mempunyai pengalaman kesihatan global yang luas dalam kesediaan dan tindak balas wabak, epidemiologi penyakit berjangkit, serta dasar dan pengurusan kesihatan.
Beliau memainkan peranan penting dalam tindak balas negara terhadap Covid-19, menasihati pasukan petugas pelbagai kementerian, mereka bentuk dan melaksanakan dasar kebangsaan mengenai kesiapsiagaan dan pengurusan risiko.
Beliau juga telah membangunkan protokol pengurusan kes, pengesanan kontak dan sistem kuarantin, dan langkah pengurusan selamat dalam masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg