Pelbagai agensi Singapura sedang berbincang dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berhubung tarif 10 peratus yang dikenakan Amerika ke atas Singapura – rakan dagangannya yang paling awal di Asia.
“Kami sedang berbincang dengan rakan sejawat kami di Amerika untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai skop penuh dan pelaksanaan tarif ini,” kata Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dalam satu kemas kini pada 14 April.
Kemas kini itu dimuat di bahagian Soalan Sering Ditanya (FAQ) mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Singapura (USSFTA) 2004, di laman webnya.
Tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas import barangan dari Singapura itu berkuat kuasa sejak 5 April.
EnterpriseSG, yang berada di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), berperanan membantu pemilik perniagaan warga Singapura untuk bersaing di peringkat sejagat.
Di samping itu, ia turut menyokong kedudukan negara ini sebagai hab perniagaan dan perdagangan antarabangsa yang utama.
Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Ehwal Luar (MFA) turut menyatakan bahawa perbincangan dengan Amerika mengenai tarif masih berterusan.
Perkara tersebut timbul semasa panggilan telefon pertama antara Setiausaha Tetap MFA, Encik Albert Chua, dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika, Encik Christopher Landau, pada 8 April, di mana mereka membincangkan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang ekonomi dan pertahanan.
“Setiausaha Tetap, Chua dan Timbalan Setiausaha, Landau, membincangkan mengenai tarif yang diumumkan baru-baru ini oleh Amerika dan bersetuju kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan mengenai isu ini,” kata jurucakap MFA.
Satu laporan Fox Business pada 15 April menamakan Singapura sebagai antara banyak negara yang cuba merundingkan perjanjian tarif.
Ini selepas Encik Trump mencetuskan kebimbangan antarabangsa sehingga pasaran saham sedunia merosot teruk.
Ia susulan pengumuman tarif meluas pada 2 April, sambil menjanjikan ‘Hari Pembebasan’ buat Amerika.
Dalam temu bual media sejak beberapa hari lalu, para pegawai Amerika menyebut negara Jepun, Korea Selatan, Taiwan, India, Australia dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai antara 75 negara yang telah menghubungi Rumah Putih, lapor The Straits Times.
Di rantau Asean, selain Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Malaysia turut dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan Amerika.
Sebagai rakan perdagangan bebas, Singapura berhak meminta pengecualian daripada dikenakan tarif secara sepihak, kerana ia melanggar peruntukan dan semangat USSFTA, kata beberapa penganalisis dan bekas diplomat yang berpangkalan di Amerika.
Tidak seperti banyak rakan dagangan lain, Amerika tidak mengalami defisit perdagangan dengan Singapura.
Malah, lebihan perdagangan barangan Amerika dengan Singapura mencecah AS$2.8 bilion ($3.7 bilion) pada 2024 – melonjak 84.8 peratus berbanding AS$1.3 bilion pada 2023.
Pada 2 April, Encik Trump mengumumkan tarif 10 peratus ke atas semua negara, termasuk rakan kongsi Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) seperti Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg