Usaha pemuliharaan bangkai paus balin yang muncul di perairan Tanjong Pagar pada 6 September sudah mula dijalankan, sedang saintis berusaha menyelesaikan pelbagai misteri mengenai paus tersebut.
Pakar mamalia marin berkata paus balin itu berkemungkinan berasal dari kawasan lain di Laut China Selatan kerana perairan cetek Singapura tidak mencukupi untuk menyokong makanan yang dimakan oleh kebanyakan paus besar seperti itu, lapor The Straits Times (ST).
Haiwan yang mati itu dikenal pasti sebagai paus ‘rorqual’ – sejenis paus balin yang mempunyai leher berlipat yang mengembang semasa haiwan itu makan.
Paus jenis itu termasuk paus biru, paus terbesar di dunia.
Paus memainkan peranan penting dalam ekosistem kerana haiwan itu membantu mengangkut nutrien merentas lautan, dan boleh mengurangkan kesan perubahan iklim dengan menyimpan sejumlah besar karbon.
Kurator mamalia di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian oleh Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Marcus Chua, yang memimpin operasi mengkaji dan memelihara paus itu, berkata pasukannya mula memotong daging daripada bangkai paus itu pada 15 September untuk mendapatkan rangkanya.
“Langkah seterusnya adalah pembuangan lemak dan pemeliharaan tulang,” katanya.
Dr Chua menjelaskan bahawa pemindahan bangkai paus itu memakan masa kerana ia adalah operasi rumit yang memerlukan perancangan dan kelulusan permit.
Selain itu, bangkai sepanjang 6.3 meter itu sudah berada pada tahap pereputan yang teruk sehingga menyukarkan penentuan spesiesnya.
Pengerusi Jawatankuasa Saintifik Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa, Dr Lindsay Porter, berkata keadaan pereputan bangkai itu mungkin menunjukkan ia sudah hancur di laut.
Teori beliau ialah paus itu mungkin terdampar di Singapura setelah dibawa dari kawasan lain di Laut China Selatan di mana terdapat jumlah tetap paus jenis Bryde’s, tempat d tujuh spesies lain daripada paus ‘rorqual’ telah dikesan.
Seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) di NUS yang mempelajari mamalia marin, Encik Sirius Ng, berkata banyak spesies paus melalui perairan Singapura, tetapi jumlah paus besar tidak mendiami kawasan itu.
Sebelum penemuan paus tersebut pada 6 September, hanya terdapat dua rekod paus besar yang pernah dilihat di Singapura.
Salah satunya ialah bangkai paus balin yang dijumpai berhampiran Pulau Bukom pada 1980.
Salah satu sebab ketiadaan paus balin di Singapura ialah kekurangan makanan seperti kril dan ikan bilis, yang bergantung kepada pembalikan air – fenomena apabila air yang kaya nutrien dari dasar laut naik ke permukaan.
Fenomena itu tidak terjadi di Singapura tetapi berlaku di Indonesia dan Malaysia, tempat beberapa spesies paus ‘rorqual’ telah ditemui, kata Encik Ng.
“Justeru, bangkai ini mungkin merupakan individu yang sesat dan bergerak dekat dengan Singapura sebelum kematiannya, atau ia mungkin mati di tempat lain dan hanyut hingga terdampar di Singapura,” kata Encik Ng.
Daripada sembilan spesies paus ‘rorqual’ di dunia, empat daripadanya diancam pupus.
Kebanyakan paus balin telah menjadi sasaran pemburuan komersial selama berabad-abad untuk daging dan produk lain, kata Encik Ng.
Selepas undang-undang antipemburuan paus diperkenal pada 1986, pemburuan telah berkurang, namun paus masih menghadapi ancaman manusia seperti perlanggaran kapal, yang menyebabkan kematian seekor paus yang terdampar di Singapura pada 2015.
Ancaman lain kepada paus termasuk pencemaran, kehilangan habitat dan terperangkap dalam peralatan menangkap ikan, kata Encik Ng.
Seperti banyak haiwan lain, paus juga terkesan dengan perubahan iklim planet ini.
Dr Porter berkata: “Sekitaran hidup normal bagi paus kini berubah apabila suhu laut naik atau turun, hingga menjejas pencarian makanan mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg