Ramai antara kita mungkin belum bersedia mahu berbincang tentang masa depan, apatah lagi yang melibatkan pengurusan harta semasa hidup dan pewarisan harta.
Namun, hakikatnya, membuat perancangan awal bukan sahaja satu langkah bijak, malah ia dapat mengurangkan beban emosi dan kewangan kepada keluarga.
Meskipun kesedaran dalam kalangan masyarakat kian meningkat, masih ada sebahagian besar kurang faham tentang pengurusan harta pusaka secara sistematik.
Perkara itu turut diakui oleh Encik Imran Rahim, rakan kongsi di Eldan Law LLP, anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang juga anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW).
“Walaupun masyarakat tahu tentang pengagihan harta mengikut prinsip faraid dan wasiat, masih ramai kurang jelas tentang proses yang terlibat, serta pilihan lain yang wujud untuk merancang pengagihan harta pusaka.
“Malah, ada yang beranggapan perancangan pengagihan harta ini memerlukan kos tinggi dan lebih mudah diserahkan sahaja kepada waris untuk diuruskan apabila mereka tiada.
“Sebilangan individu juga tidak membuat perancangan awal kerana berpendapat jumlah aset yang dimiliki adalah terlalu sedikit untuk usaha tersebut,” jelas Encik Imran.
Langkah itu tidak rumit atau mahal seperti yang disangka, malah boleh dimulakan dengan mudah melalui Perancangan Legasi Islam.
Bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat tentang perancangan dan pengagihan harta pusaka, Muis bakal menganjurkan Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) 2025 pada Sabtu, 27 September 2025 di Singapore Expo, Dewan 1, dari 12 tengah hari hingga 7 malam.
Selain itu, orang ramai berpeluang mendapatkan perkhidmatan pengesahan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) pada harga istimewa hanya $30.
Golongan profesional, pakar bertauliah dan beberapa asatizah turut hadir untuk menawarkan sesi konsultasi percuma berkaitan Perancangan Legasi Islam (ILP).
“Tujuan utama adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pelbagai instrumen bagi membantu individu merancang harta pusakanya, memulakan perbincangan tentang perkara ini (terutama dalam kalangan keluarga), serta menunjukkan langkah ini tidak semestinya membabitkan kos tinggi,” tambah Encik Imran.
Oleh itu, adakan perbincangan bersama dan manfaatkan peluang di ILPV untuk mendapatkan maklumat serta sokongan tentang perancangan harta.
Ingatlah, perancangan anda hari ini adalah hadiah terbaik untuk masa depan yang lebih tenang dan terjaga.
SEKILAS:
Encik Imran Rahim bersama pakar dan asatizah lain akan memberi penerangan lanjut tentang perancangan legasi Islam serta hak wanita dalam perancangan harta di acara ILPV, pada 27 September 2025.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari pautan, https://bit.ly/ILPV2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg