Agihan zakat lebih tinggi pada 2025 bantu lebih ramai individu, perkukuh institusi Islam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agihan zakat lebih tinggi pada 2025 bantu lebih ramai individu, perkukuh institusi Islam

Mar 6, 2026 | 5:30 AM

Agihan zakat lebih tinggi pada 2025 bantu lebih ramai individu, perkukuh institusi Islam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
zakat, muis, salamsg ramadan
Pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) (kiri), bersama penerima bantuan zakat (kanan) dalam acara SalamSG Ramadan 2025 yang menyalurkan bantuan kepada asnaf di Singapura. Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (tengah). - Foto MUIS

Pada 2025, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengagihkan $74.7 juta dana zakat kepada lapan golongan asnaf, berbanding $70.5 juta pada 2024.

Menurut Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat di Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin, agihan tersebut berjaya memberi manfaat langsung kepada lebih 6,000 keluarga kurang berkemampuan di Singapura setiap bulan, selain menyokong pelbagai institusi dan program pembangunan masyarakat Islam.

ZAKAT BULANAN DAN DERMASISWA PADA 2025

Pada 2025, peruntukan terbesar zakat sebanyak $32.9 juta telah disalurkan bagi pembangunan sosial dan bantuan kepada golongan fakir dan miskin serta asnaf lain seperti gharimin, riqab dan ibnussabil. 

Bantuan itu merangkumi Skim Bantuan Kewangan Zakat Bulanan yang membantu melengkapi keperluan asas seperti makanan dan perbelanjaan harian. 

Selain itu, agihan zakat dan fidyah sempena Ramadan serta bantuan zakat akhir tahun turut disediakan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, skim dermasiswa pendidikan dan program pemerkasaan diri turut disediakan bagi memperluas peluang pendidikan dan membantu penerima keluar daripada kitaran kemiskinan secara berperingkat.

SOKONGAN KEPADA MADRASAH DAN ASATIZAH

Dalam aspek pendidikan Islam pula, sejumlah $20.9 juta telah diagihkan bagi pembangunan madrasah dan asatizah.

Bantuan tersebut menumpukan sokongan kepada madrasah sepenuh masa dan sambilan seperti program aLIVE dan Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL), di samping memperkasa pembangunan profesional asatizah termasuk melalui program kendalian ILHAM.

Pelbagai skim bantuan pendidikan termasuk Dermasiswa Muis-Madrasah dan Dana Pendidikan Islam (IEF), turut disediakan untuk membantu pelajar memerlukan, sekali gus memberi mereka peluang meneruskan pengajian agama dengan lebih yakin dan terjamin.

PEMERKASAAN MASJID DAN PROGRAM AGAMA

Dalam memperkukuh institusi masjid dan program keagamaan pula, sejumlah $10.2 juta telah diagihkan bagi memenuhi keperluan kededua bidang termasuk di bawah asnaf fisabilillah dan amil. 

Zakat yang menyokong latihan kepimpinan, pemerkasaan tadbir urus masjid serta pelaksanaan program keagamaan dan kemasyarakatan, memastikan masjid terus berperanan sebagai pusat pendidikan dan penyatuan masyarakat Islam setempat.

Sementara itu, $10.7 juta dalam bentuk zakat dimanfaatkan bagi melaksana program bimbingan agama, pendidikan Islam, program penglibatan belia serta usaha pengurusan saudara baru. 

Ia termasuk pembangunan khutbah dan fatwa, penyelidikan agama termasuk bidang falak, serta program dakwah kepada masyarakat umum dan golongan yang memerlukan sokongan khusus.

SETINGGI PENGHARGAAN KEPADA PENYUMBANG

Menurut Encik Shamsul, peningkatan agihan zakat itu membolehkan bantuan disalur dengan lebih menyeluruh dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.

“Muis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat Islam atas komitmen teguh mereka dalam menunaikan zakat setiap tahun.

“Kepercayaan dan kemurahan hati tersebut membolehkan Muis mengagihkan dana zakat dengan penuh amanah kepada kelapan-lapan asnaf, memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar berhak, termasuk kumpulan kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah, kami juga menyaksikan pertumbuhan kutipan zakat yang konsisten dari tahun ke tahun, satu bukti rasa tanggungjawab dan keprihatinan masyarakat yang tinggi, sekali gus membolehkan Muis memberi sokongan lebih baik dan menyeluruh kepada semua asnaf, serta bertindak balas secara berkesan terhadap keperluan yang semakin berkembang,” ujar Encik Shamsul. 

SEKILAS:

* Tunaikan tanggungjawab zakat anda di https://pay.zakat.sg untuk diagihkan kepada kesemua lapan asnaf, termasuk golongan fakir dan miskin. 

* Kunjungi mana-mana pusat kutipan zakat yang sah di masjid-masjid berdekatan untuk tunaikan zakat. Dapatkan senarai pusat di https://www.zakat.sg/ms/lokasi.

* Rekod kutipan zakat boleh dilihat melalui Laporan Tahunan Muis di https://www.muis.gov.sg/resources/annual-reports/. 

* Untuk pertanyaan, e-mel kepada info@muis.gov.sg atau hubungi talian 6359-1199.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg