Ibu tunggal tabah besarkan 6 anak walau hadapi cabaran kesihatan
Ibu tunggal tabah besarkan 6 anak walau hadapi cabaran kesihatan
Pengalaman buktikan institusi zakat mampu ubah kehidupan, bina harapan bagi generasi akan datang
Kehidupan Cik Noor Liza Mohd Sazale tidak mudah.
Sebagai ibu tunggal enam anak, beliau mengharungi pelbagai cabaran kesihatan sambil memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan terbaik demi masa depan yang lebih cerah.
“Kadang-kadang saya rasa malu sebagai ibu, tetapi anak saya tidak pernah menyalahkan saya atas keadaan kami,” ujar Cik Noor Liza, 42 tahun, ketika berkongsi pengalamannya sebagai penerima bantuan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Sejak 20 tahun lalu, Cik Noor Liza membesarkan anak-anaknya sendirian dengan penuh dedikasi.
Cabaran hidupnya bertambah berat apabila beliau mula menghadapi masalah kesihatan.
Sejak 2019, beliau mengalami Carpal Tunnel Syndrome (CTS), kecederaan ligamen lutut dan pergelangan tangan, serta masalah jantung yang memerlukan beberapa pembedahan kecil.
Selain itu, Cik Noor Liza turut menghadapi gangguan keresahan, sekali gus memerlukan beliau menghadiri empat hingga lima janji temu perubatan setiap bulan di pelbagai poliklinik dan hospital.
“Kadang-kadang saya takut tidur kerana takut saya tidak akan bangun.
“Tetapi kemudian saya fikir, saya mesti terus hidup kerana anak saya memerlukan saya,” ujarnya tentang detik kelam yang pernah dilalui.
Sebelum kecederaan memaksanya berhenti kerja, Cik Noor Liza bertugas sebagai pengedar barangan runcit secara sambilan selama empat tahun. Pekerjaan itu memerlukan beliau berjalan tujuh jam tanpa henti.
Kini, beliau bergantung sepenuhnya pada bantuan kewangan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan bantuan zakat Muis berjumlah $240 sebulan berserta baucar untuk menampung keperluan keluarganya.
Namun, di sebalik segala kesukaran, sinar harapan terpancar menerusi pencapaian anak-anaknya.
Anak sulungnya, yang berusia 24 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.
Seorang lagi anaknya, Encik Muhammad Haziq Zikry, 22 tahun, bakal melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Anak beliau yang berusia 21 tahun pula baru selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS), manakala yang berusia 18 tahun sedang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Pada 2026, seorang lagi anaknya memasuki sekolah menengah, manakala yang bongsu memulakan Darjah 1.
“Mereka (anak-anak) tahu dan mereka nampak perjuangan saya sejak mereka kecil. Mereka faham keadaan yang kami hadapi dan tidak pernah menyalahkan saya.
“Mereka tahu mereka perlu belajar untuk masa depan yang lebih baik suatu hari nanti, lebih baik daripada apa yang kami ada sekarang.
“Bantuan wang zakat membantu meringankan beban kami,” ujar Cik Noor Liza.
Apabila ditanya tentang motivasi yang membuatkan beliau terus tabah, jawapannya ringkas tetapi penuh makna:
“Anak-anak saya. Itulah satu-satunya perkara yang membuat saya perlu terus maju, kerana mereka memerlukan saya. Itulah sebabnya kadang-kadang saya alami masalah keresahan.
“Saya mahu tetapi tidak boleh bekerja kerana masalah kesihatan, dan kemudian saya terpaksa fikirkan, saya ada anak-anak untuk ditanggung.”
Cik Noor Liza menguruskan wang bantuan yang diterimanya dengan penuh berhati-hati.
“Apa yang mereka beri kepada saya, saya pastikan wang itu saya belanjakan untuk perkara yang betul, semuanya untuk keperluan keluarga saya,” ujarnya.
Buat ibu tunggal lain yang berada dalam keadaan serupa, Cik Noor Liza, menasihatkan:
“Jika anda benar-benar memerlukan bantuan, jangan malu untuk meminta. Ramai orang dan badan-badan di luar sana boleh membantu.
“Kalau anda terus bergelut dalam kesusahan sendirian, akhirnya anda akan tetap dalam situasi yang sama.”
Kisah Cik Noor Liza membuktikan di sebalik kesukaran, ketabahan seorang ibu dan sokongan masyarakat melalui institusi zakat mampu mengubah kehidupan dan membina harapan untuk generasi akan datang.
“Terima kasih kepada pembayar zakat atas sumbangan anda.
“Tanpa bantuan ini, susah untuk kami memenuhi keperluan harian, makanan dan keperluan asas kami,” tambah Cik Noor Liza.
SALURAN TUNAI ZAKAT:
Tunaikan zakat anda kepada lapan asnaf menerusi pautan, www.zakat.sg atau di masjid berdekatan.

