Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AGO kesan kelemahan audit tahunan agensi awam urus kontrak, perolehan

Sep 9, 2025 | 7:05 PM
mpa, ago
Pejabat Juruaudit Negara (AGO) mendapati dua contoh kesilapan dalam penilaian tender oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA). - Foto BT

Pejabat Juruaudit Negara (AGO) mendapati beberapa kelemahan agensi awam dalam bidang seperti pengurusan kontrak dan perolehan, pengurusan hasil dan rekod dalam audit tahunan terkini akaun pemerintah.

AGO menjalankan audit dan mengeluarkan pendapat mengenai penyata kewangan 16 kementerian dan lapan badan pemerintah.

Audit ke atas penyata kewangan juga dijalankan ke atas tiga badan berkanun, empat syarikat milik pemerintah dan dua akaun lain. Audit terpilih juga dilaksanakan ke atas enam badan berkanun dan dua dana pemerintah. Audit Terkhusus atau Thematic Audit juga dijalankan ke atas A*Star dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

Dalam laporan pada 9 September, AGO mendapati berlaku kesilapan dalam pengurusan perolehan dan kontrak di Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), agensi air negara, PUB, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), lapor The Straits Times (ST).

AGO menyatakan beberapa agensi seperti HTX, PUB dan Perbadanan Bandar Jurong (JTC) menjalankan penilaian tender tanpa mengikuti kriteria yang ditetapkan.

Namun, ia menyatakan keputusan penganugerahan kontrak itu tidak terjejas bagi kes ini, tetapi perubahan kriteria penilaian selepas tarikh tutup tender boleh menimbulkan persoalan mengenai keadilan proses penilaian.

Justeru, AGO mengingatkan agensi agar memastikan tender dinilai sewajarnya.

Dalam audit HTX, PUB dan MPA, AGO menyatakan pemeriksaan didapati tidak mencukupi ke atas barangan yang dihantar atau perkhidmatan yang disediakan.

Akibatnya, jaminan diberikan tidak mematuhi keperluan kontrak.

NEA pula gagal memantau pematuhan rakan kongsi sektor swasta terhadap keperluan dalam perjanjian projeknya yang berkaitan dengan model kewangan projek.

Rakan kongsi tidak memberikan NEA model yang dikemas kini untuk menggambarkan kos sebenar.

Akibatnya, agensi itu membayar lebih kepada rakan kongsi sekitar $530,000.

Selepas model itu dikemas kini, NEA akan membayar kurang $1.73 juta untuk baki tempoh kontrak.

AGO turut mendapati penilaian tender oleh EDB dan MPA kurang ‘teguh’.

EDB gagal menjelaskan percanggahan apabila seorang pembida mengemukakan data sokongan yang diperlukan selepas tarikh tutup tender, yang tidak sepadan dengan harga bidaannya.

Di samping itu, EDB tidak menggunakan harga tawaran yang dikemukakan dalam penilaian tender dan pengesyoran penganugerahan kepada Pihak Meluluskan Tender.

Ia sebaliknya menggunakan angka lebih tinggi yang diperolehi daripada data sokongan yang diterima selepas penutupan tender.

Bagi MPA, AGO mendapati dua contoh kesilapan dalam pemarkahan penilaian sesuatu tender.

Salah satu kesilapan boleh menjejas penganugerahan tender, yang mungkin berlaku kepada tender lain yang harga bidaannya $2.43 juta lebih rendah.

EDB juga didapati mempunyai kelemahan dalam pentadbiran dan reka bentuk Program Pembiayaan Rangkaian Global Singapura.

Ini termasuk jaminan yang tidak mencukupi bahawa pemohon dan peserta acara memenuhi kriteria kelayakan untuk pembiayaan, serta kekurangan keperluan untuk pemohon mengisytiharkan konflik kepentingan (COI) semasa mengemukakan tuntutan.

AGO menyatakan bahawa tiada juga bukti EDB menjalankan semakan kelayakan atau COI semasa memproses tuntutan pemohon dan peserta.

Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg