Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Silap urus geran ulang kali ditemui dalam audit tahunan kementerian

Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) gesa perkukuh tadbir dan pengeluaran geran, manfaatkan teknologi untuk cegah penipuan
Jan 22, 2025 | 3:17 AM
Teknologi seperti analisis data dan kecerdasan buatan boleh digunakan untuk mengesan penipuan, kata Jawatankuasa Akaun Negara dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan pada 21 Januari.
Teknologi seperti analisis data dan kecerdasan buatan boleh digunakan untuk mengesan penipuan, kata Jawatankuasa Akaun Negara dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan pada 21 Januari. - Foto PIXABAY

Kesilapan dalam pengurusan geran terus menjadi perihal yang ditemui secara berulang dalam audit tahunan kementerian dan agensi, kata pemantau akaun awam Parlimen.

Justeru itu, ia menggesa lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mengukuhkan pentadbiran dan agihan geran.

Teknologi seperti analisis data dan kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk mengesan penipuan, kata Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan pada 21 Januari.

Ia juga menekankan kepentingan penyelarasan dan penilaian risiko semasa merancang skim geran untuk memastikan keseimbangan antara kawalan dan daya respons.

PAC yang terdiri daripada lapan Anggota Parlimen (AP), ditugaskan untuk meneliti bagaimana dana awam dibelanjakan dan menjejaki apa yang telah dilakukan oleh agensi pemerintah dalam membetulkan penyelewengan dana itu.

Bagi tujuan ini, ia menyemak laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2023-2024, menumpukan kepada kelemahan dalam pengurusan perolehan dan kontrak, serta kelewatan dalam pengurusan geran sokongan keibubapaan di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).

PAC itu juga melihat tiga isu yang lebih luas, yang boleh memberi kesan kepada perbelanjaan, tadbir urus kewangan dan kawalan dalam sektor awam: pengurusan geran, perbelanjaan sosial untuk warga emas dan daya tahan serta keupayaan pemulihan sistem teknologi maklumat (IT) dan sistem digital pemerintah.

Dalam siasatannya, jawatankuasa itu menerima jawapan bertulis daripada lapan kementerian – Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Nagara (MND), MSF, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) – dan Kumpulan Negara Bijak (SNG), yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Jawatankuasa itu juga telah mengadakan empat mesyuarat dan mendengar perwakilan lisan setiausaha tetap MOF, MOH dan SNG.

Mengenai isu pengurusan geran, PAC berkata memandangkan perbelanjaan pemerintah untuk geran berkemungkinan meningkat pada masa hadapan, adalah penting untuk menambah baik tadbir urus geran di peringkat keseluruhan pemerintah.

MOF memaklumkan kepada jawatankuasa itu bahawa tidak mungkin dapat mencegah dan mengesan semua penipuan, kecuaian serta penyalahgunaan geran disebabkan oleh jumlah dan kerumitan geran yang diberikan, kesilapan manusia dan juga perubahan ‘modus operandi’ (cara pelaksanaan) penipu.

Kementerian itu juga berkata terdapat keseimbangan antara kecepatan agihan, kawalan dan kos.

MOF juga menambah bahawa tidak ada keperluan untuk menahan pembiayaan untuk skim baru, kerana keseluruhan sistem berfungsi dengan baik dan tiada isu sistemik.

Namun bagi menambah baik tadbir urus, MOF berkata ia melaksanakan rangka kerja tadbir urus geran pada 2020, yang menyediakan satu set garis panduan yang konsisten kepada agensi yang memberi geran.

Selain itu, ia telah membangunkan senarai semak pengurusan risiko penipuan bersama-sama dengan Jabatan Hal Ehwal Komersial, yang boleh digunakan oleh agensi untuk menilai risiko dan mengesan penipuan dan penyalahgunaan geran.

Ia juga bekerjasama dengan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) untuk membangunkan analisis rangkaian yang boleh digunakan oleh agensi untuk menjalan semakan secara wajar.

AP GRC West Coast, Cik Foo Mee Har, yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata dalam satu kenyataan:

“Kami akur pada jaminan MOF bahawa keseluruhan sistem berfungsi dengan baik, tanpa sebarang isu sistemik.

“Bagaimanapun, pemerintah harus terus memperkukuh pentadbiran geran dan memanfaatkan analisis data dan teknologi untuk meningkatkan keupayaan pengesanan penipuan.”

Mengenai perbelanjaan sosial warga emas, PAC menyatakan bahawa $7.4 bilion telah dibelanjakan untuk skim khusus warga emas dari tahun kewangan 2020 hingga 2023.

PAC menggesa pemerintah menilai secara berterusan skim untuk memastikan dana diagihkan dengan tepat dan sampai kepada penerima yang disasarkan, dengan hasil yang diinginkan tercapai.

Bagi daya tahan sistem IT dan digital pemerintah, PAC membangkitkan kebimbangan mengenai peningkatan kejadian serangan siber di seluruh dunia.

Ia menambah bahawa apabila Singapura semakin maju dalam usaha pendigitalannya, semakin penting data pemerintah dan infrastruktur teknologi perlu menjadi berdaya tahan terhadap serangan siber, di samping mempunyai pelan pemulihan perkhidmatan dan kesinambungan perniagaan.

Jawatankuasa itu juga menggesa pemerintah mengambil langkah memastikan rakyat selamat dalam dunia digital dan memastikan akses kepada perkhidmatan pemerintah bagi mereka yang kurang celik digital, seperti warga emas.

Dalam semakan laporan Ketua Audit Negara, jawatankuasa itu meminta pengawasan yang lebih kukuh ke atas projek yang diserahkan kepada orang luar, seperti konsultan dan kontraktor luar.

Ia menambah agensi perlu bertanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan disampaikan dan bayaran dibuat hanya untuk kerja yang dilakukan.

PAC turut melihat audit tematik mengenai langkah sokongan keibubapaan yang telah dipilih Pejabat Juruaudit Negara (AGO).

Langkah itu ditadbir oleh MSF dan Ecda dengan kira-kira $4.55 bilion telah diagihkan di bawah skim ini semasa tempoh audit dari April 2021 hingga akhir Jun 2023.

AGO mendapati ada penyalahgunaan cuti ibu bapa yang dibayar dan pengeluaran Akaun Perkembangan Kanak-kanak (CDA) untuk membeli barangan yang tidak diluluskan, termasuk cermin mata hitam saiz dewasa.

Jawatankuasa itu berkata MSF sedang meningkatkan keupayaan pengesanan penipuan sebegini, dan secara automatik akan mengarahkan tuntutan dengan tanda penyelewengan untuk pengesahan manual.

Perubahan perundangan juga dijangka akan diadakan menjelang Jun 2025 dalam menangani penipuan dan penyalahgunaan sistem cuti.

Selain itu, PAC berkata MSF telah membuat laporan polis terhadap tiga daripada 32 individu yang dianggap mempunyai tingkah laku sangat mencurigakan dalam perihal membuat tuntutan.

Bagi kes selebihnya, MSF telah meminta dokumen sokongan lanjut daripada majikan, dan akan mendapatkan semula lebihan bayaran jika ada.

Mengenai kepincangan dan kelemahan yang diketengahkan AGO, Cik Foo berkata:

“Adalah penting bagi agensi untuk meneliti dan memahami punca asas, supaya pelan tindakan yang berkesan dibangunkan dan dilaksanakan untuk mencegah perkara berulang.

“Jawatankuasa itu menyatakan bahawa masih terdapat kesilapan biasa yang diperhatikan di seluruh agensi yang berbeza. Bagi bahagian sedemikian, adalah penting bagi agensi pusat untuk mempertimbangkan penambahbaikan sistemik yang perlu dilaksanakan di peringkat agensi pusat,” tambah Cik Foo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg