Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua 17 majlis bandaran terima penilaian tertinggi bagi pengurusan estet

Jun 13, 2025 | 4:16 PM
majlis bandaran, MND, pengurusan estet
Laporan operasi itu bagi tahun kewangan 2024, dari April 2024 hingga Mac 2025.  - Foto ST

Semua 17 majlis bandaran menerima penilaian tertinggi dalam semakan pengurusan kawasan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Dalam laporan pengurusan majlis bandaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 13 Jun, semua majlis bandaran menerima penilaian hijau dalam keempat-empat kategori penilaian.

Laporan operasi itu bagi tahun kewangan 2024, dari April 2024 hingga Mac 2025. GE2025 telah diadakan pada 3 Mei.

Majlis bandaran mengekalkan pencapaian cemerlang yang pernah dicapai dalam laporan terdahulu bagi tahun kewangan 2023, di mana kesemua mereka buat pertama kalinya sejak laporan diperkenalkan pada 2010, menerima penilaian hijau, lapor The Straits Times (ST).

Penilaian hijau adalah yang tertinggi, diikuti dengan kuning dan merah. Empat kategori yang dinilai termasuk kebersihan estet, penyelenggaraan estet, prestasi lif dan pengurusan tunggakan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC).

Untuk memperoleh penilaian hijau dalam aspek kebersihan atau penyelenggaraan, majlis bandaran mesti mencatatkan kurang daripada empat isu khusus bagi setiap blok.

Bagi kebersihan, antara isu yang diperhatikan termasuk kewujudan kotoran, sampah, barangan berat yang dibuang dan grafiti.

Isu utama yang berterusan dalam aspek kebersihan adalah isu kotoran dan sampah, sama seperti laporan sebelumnya.

Dalam aspek penyelenggaraan estet, halangan di kawasan awam kekal sebagai isu utama.

Pemerhatian lain termasuk pemasangan tidak sah, kerosakan pada dinding atau konkrit terkopek serta penyimpanan barangan mudah terbakar.

Prestasi lif dinilai pada tahap tertinggi sekiranya majlis bandaran mencatatkan kurang daripada dua kerosakan lif bagi setiap 10 lif sebulan, dan masa tidak berfungsi kurang daripada sejam bagi setiap lif sebulan.

Pengurusan tunggakan S&CC dinilai sebagai hijau jika kurang daripada 40 peratus daripada S&CC bulanan tertunggak, dan kurang daripada empat daripada setiap 100 isi rumah mempunyai bayaran tertunggak selama tiga bulan atau lebih.

Satu laporan berasingan mengenai tadbir urus korporat dan kawalan dalaman majlis bandaran bagi tempoh yang sama akan diterbitkan pada penghujung 2025.

Ini selepas MND menerima dan meneliti laporan kewangan yang telah diaudit serta laporan juruaudit majlis bandaran.

Untuk tahun akan datang, MND tidak akan menerbitkan laporan operasi atau tadbir urus bagi tahun kewangan 2025, iaitu dari April 2025 hingga Mac 2026.

Ini bertujuan memberi tempoh peralihan kepada majlis bandaran yang baru dibentuk atau disusun semula selepas GE2025, agar mereka dapat menstabilkan operasi masing-masing selepas sebarang proses penyerahan.

MND menyatakan pihaknya akan terus memantau prestasi majlis bandaran sepanjang tempoh tersebut dan akan berkongsi maklum balas untuk menyokong proses peralihan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg