Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli keluarga asing calon pilihan raya boleh beri sokongan semasa kempen

Feb 4, 2025 | 12:18 AM
Ahli keluarga calon pilihan raya yang berwarga asing tidak boleh secara aktif mendapatkan sokongan politik atau melakukan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk mempengaruhi atau menghalang pengundi.
Ahli keluarga calon pilihan raya yang berwarga asing tidak boleh secara aktif mendapatkan sokongan politik atau melakukan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk mempengaruhi atau menghalang pengundi. - Foto ST

Dalam pilihan raya umum yang mendatang, ahli keluarga terdekat calon yang bukan warganegara Singapura akan dikecualikan daripada peraturan sekian lama yang melarang warga asing daripada menyertai aktiviti pilihan raya.

Ini bermakna mereka boleh menunjukkan sokongan kepada calon sepanjang tempoh berkempen, misalnya, mengiringi calon dalam sesi mendekati penduduk.

Namun, mereka tidak boleh mendapatkan secara aktif sokongan politik atau melakukan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai usaha mempengaruhi atau menghalang pengundi, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan bersama pada 3 Februari.

Kenyataan oleh MHA, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Jabatan Pilihan Raya (ELD) tersebut dikeluarkan sebagai respons terhadap pertanyaan mengenai penerbitan beberapa pindaan undang-undang pilihan raya dalam e-Gazette pemerintah pada 20 Januari.

Menyifatkan perubahan tersebut sebagai “pendekatan yang praktikal”, MHA mengakui bahawa mungkin ada calon yang mempunyai ahli keluarga warga asing yang ingin menunjukkan sokongan kepada mereka.

Pada masa yang sama, pendekatan itu berpegang pada prinsip bahawa hanya rakyat Singapura yang boleh mengambil bahagian dalam proses politik, katanya.

Dengan perubahan itu, ahli keluarga asing – termasuk penduduk tetap – tidak perlu mendapatkan kebenaran bertulis yang ditandatangani calon atau ejen pilihan raya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pilihan raya.

Ini termasuk mengiringi calon semasa lawatan mendekati penduduk, lawatan ke rumah atau rapat umum, serta menunjukkan sokongan kepada calon di profil media sosial mereka sendiri, antara lain.

Namun, mereka yang berumur di bawah 16 tahun tidak dibenarkan berbuat demikian, sejajar dengan peraturan sedia ada dalam Akta Pilihan Raya Parlimen.

Perubahan lain yang diterbitkan dalam e-Gazette pemerintah melibatkan pindaan terhadap jumlah maksimum individu yang dibenarkan berada di kawasan yang diperuntukkan bagi pengiraan undi luar negara, berkaitan dengan bahagian pilihan raya tertentu.

ELD berkata bahawa amalan itu telah dilaksanakan dalam pilihan raya terdahulu dan kini dimasukkan secara rasmi untuk memperjelas peraturan.

Pindaan tersebut dibuat menjelang pilihan raya umum Singapura, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada November.

Pada 22 Januari, ELD mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah menubuhkan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya, yang akan menyemak semula sempadan kawasan pilihan raya Singapura.

Berdasarkan empat pilihan raya sebelum ini, tempoh antara pembentukan jawatankuasa itu dan Hari Pengundian biasanya adalah antara empat hingga 11 bulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg