Ruang riadah baru akan dibangunkan di tiga kawasan di GRC East Coast, dengan pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, mengumumkan inisiatif terkini di bawah Pelan East Coast itu, beberapa hari selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dibentuk pada 22 Januari, lapor akhbar The Straits Times.
Berucap di Karnival Tahun Baru Cina East Coast di Heartbeat@Bedok pada 25 Januari, Encik Heng berkata ruang riadah baru di Bedok itu, yang dinamakan PlayHubs, akan dilengkapi dengan taman permainan, zon kecergasan dan ruang bagi haiwan peliharaan.
Kemudahan baru itu akan menggantikan kemudahan yang ada sekarang termasuk gelanggang pelbagai kegunaan dan amfiteater, dekat Blok 6 dan 15 Bedok South Road, Blok 135 dan 138 Bedok North Street 2, serta Blok 84 Bedok North Street 4.
Ruang riadah baru itu akan dihubungkan dengan rangkaian laluan baru yang dikelilingi kehijauan, dinamakan PlayTrail Network, tambahnya.
Pembangunan ini di samping pembangunan prasarana yang telah dijalankan sepanjang lima tahun lalu sejak Pelan East Coast diumumkan buat kali pertama, ujar Encik Heng.
Pembangunan yang telah siap di kawasan undinya sejak itu termasuk dua kelab masyarakat di Siglap dan Fengshan, sebuah dewan badminton dengan 24 gelanggang di Singapore Expo, serta ruang di bawah jejambat MRT Tanah Merah yang akan dibangunkan menjadi hab masyarakat.
Menerusi satu kenyataan pada 25 Januari, pejabat kawasan undi kumpulan East Coast berkata Pelan East Coast perlu bersifat meluas dan mendalam untuk menangani isu yang dihadapi segenap lapisan penduduk.
Tambahnya, program dan inisiatif yang diperkenal sejak 2020 mencerminkan demografi penduduk yang pelbagai ini.
Ini termasuk kerusi roda percuma bagi warga emas yang menghadapi isu pergerakan serta dermasiswa untuk menggalakkan kaum Hawa menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
Selain itu, terdapat juga inisiatif seperti 200=100@East Coast yang membolehkan penduduk berpendapatan rendah membeli barang dapur seperti beras, telur dan minyak masak pada separuh harga, dengan had ditetapkan pada $200 setiap dua bulan.
Mulai Februari, sehingga 800 isi rumah akan meraih manfaat daripada program ini, berbanding 500 isi rumah sekarang.
Encik Heng turut menggariskan usaha lain untuk membantu penduduk termasuk ‘Gd Lobangs’ yang dilancarkan di Kampong Chai Chee pada Jun 2024.
Di bawah program itu, pemimpin akar umbi bekerjasama dengan pekedai di kawasan kejiranan untuk memberi diskaun kepada penduduk.
Pada 25 Januari, Encik Heng juga telah melancarkan pameran untuk membentangkan pencapaian bersama penduduk, relawan akar umbi dengan lima AP GRC East Coast.
“Adalah sangat menggalakkan untuk melihat penduduk, relawan, pemimpin akar umbi dan rakan kerja masyarakat bersatu untuk mengambil bahagian.
“Bersama, kami telah menjadikan East Coast tempat tinggal yang lebih baik,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg