Tidak ramai yang tahu Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja, Encik Faisal Manap meminta ketua parti untuk diberi peluang berkhidmat kepada penduduk di Kaki Bukit selepas parti tersebut memenangi GRC Aljunied pada Pilihan Raya Umum 2011.
Menurut Encik Faisal, satu-satunya AP Pembangkang Melayu pada masa ini, beliau selesa dengan penduduk di sana.
Demografi kawasan itu – terdiri daripada penduduk yang berpendapatan pertengahan dan rendah, serta warga emas – serupa dengan MacPherson di mana beliau pernah bertugas sebagai kaunselor di sebuah pusat khidmat keluarga dahulu, kata beliau.
“Sebagai seorang pekerja sosial dan kaunselor, saya memang serasi dan senang nak berkomunikasi dan memahami keadaan mereka.
“Jadi bila kita memenangi GRC Aljunied, saya ingat lagi kali pertama saya beritahu... Encik Low Thia Khiang (mantan setiausaha agung WP), yang saya nak jadi AP bagi kawasan Kaki Bukit kerana memang saya serasi bertugas atau berkhidmat dengan masyarakat dengan demografi yang demikian,” kata Encik Faisal.
Encik Faisal menjadi AP GRC Aljunied setelah pasukan Parti Pekerja (WP) lima anggota memenangi GE di kawasan itu pada 2011.
Pasukan yang diketuai Encik Low menewaskan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Encik George Yeo, yang merupakan Menteri Ehwal Luar ketika itu. Pasukan parti pemerintah tersebut juga dianggotai Encik Zainul Abidin Rasheed, yang pada ketika itu menyandang jawatan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar).
Pasukan WP mendapat 54.72 peratus undi, berbanding 45.28 peratus undi yang diraih pasukan PAP.
Encik Faisal, 49 tahun, baru-baru ini duduk bersembang dengan Berita Harian (BH) di kedai kopi di Bedok. Wawancara itu sebahagian daripada Siri Bersama Anggota Parlimen menjelang GE 2025 BH, yang memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing.
Beliau berkongsi bahawa sebelum melibatkan diri dalam dunia politik, beliau sudah amat mengambil berat tentang cabaran dan dilema yang dihadapi masyarakat, terutama masyarakat Melayu/Islam.
Meskipun menyifatkan dirinya sebagai seorang introvert, atau pemalu, pada 2011, beliau merasakan sudah tiba masanya bagi beliau ke hadapan untuk memperjuangkan isu-isu yang dekat pada hatinya dan juga masyarakat dengan harapan dapat memberi sumbangan.
Beliau berkata beliau percaya usaha itu penting untuk mengorak perubahan.
“Oleh kerana saya berpegang pada prinsip sedemikian, walaupun keberatan pada mulanya, tetapi kerana ada keperluan, saya langsung ke hadapan untuk melakukan apa yang termampu,” kata beliau.
Semasa membawa wartawan bersiar-siar di sekeliling Bedok, Encik Faisal berkongsi tentang pengalamannya berkhidmat sebagai AP dan juga hubungannya bersama penduduk di kawasan itu sepanjang hampir 14 tahun lalu.
Walaupun Kaki Bukit lebih dikenali ramai sebagai tempat perindustrian yang ulu, Encik Faisal berkata kawasan dekat Bedok itu mempunyai daya tarikannya yang tersendiri buat penduduk.
Ramai penduduk di situ masih lagi merupakan penghuni generasi pertama flat-flat yang dibina pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, dengan anak-anak dan cucu mereka juga tinggal bersama.
“Kebanyakan mereka membesar di sini dan bersekolah di kawasan Bedok. Jadi ini dikirakan kawasan permainan mereka, tempat mereka berkawan. Jadi mereka memang selesa di sini,” ujar beliau.
Pelbagai program dan perkhidmatan juga disediakan untuk menceriakan dan mendekati golongan warga emas di Kaki Bukit.
Antaranya, lawatan ke tempat seperti taman burung dan kebun pertanian di Lim Chu Kang, untuk warga emas diadakan secara percuma.
Terdapat juga skim subsidi $50 yang disediakan WP untuk penduduk yang memerlukan khidmat pertukangan, seperti tukang paip jika paip bocor di rumah.
“Kaki Bukit adalah sebuah masyarakat yang mesra dan akrab. Penduduk di sini semuanya baik dengan satu sama lain,” ujar Encik Faisal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg