Golongan muda perlu membina keupayaan membuat pertimbangan yang kukuh, kemahiran berfikir serta asas pengetahuan yang mantap, meskipun alat kecerdasan buatan (AI) kini mampu melaksanakan pelbagai tugas daripada yang biasa hingga yang kompleks.
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata AI tidak boleh mengganti pembelajaran, sebaliknya, ia harus memperkasa proses tersebut.
Beliau berkata demikian kepada media pada 8 Julai di Sekolah Rendah Oasis di Punggol, semasa lawatan sekolah pertamanya sebagai Menteri Pendidikan.
Antara keutamaan kementeriannya termasuk membantu pelajar membangunkan kemahiran sosial dan emosi mereka, serta mendorong perubahan menyeluruh dalam masyarakat daripada persaingan berasaskan keputusan peperiksaan kepada pemupukan minat mendalam terhadap pembelajaran.
Encik Lee memberi contoh bagaimana AI boleh membantu peguam muda menyediakan draf penghujahan, namun hanya mereka yang mempunyai latihan dan pengalaman sewajarnya dapat menilai dan menambah baik draf yang dihasilkan AI.
“Anda dapat mengenal pasti apa yang betul dan apa yang salah. Apa yang benar dan apa yang tidak, serta apa yang paling sesuai untuk situasi anda,” katanya.
Oleh itu, penting untuk mempersiapkan kanak-kanak menghadapi masa depan yang dipenuhi teknologi AI, sambil memupuk rasa ingin tahu serta kemahiran sosial dan emosi dalam diri mereka.
Ini memerlukan penggunaan AI di bilik darjah mengikut kesesuaian umur, di samping mengajar kanak-kanak tentang AI dan sempadannya.
Memandangkan kemahiran sosial dan emosi semakin penting – bukan sahaja di sekolah, malah di tempat kerja dan dalam masyarakat – bidang itu turut menjadi salah satu tumpuan Kementerian Pendidikan (MOE).
“Semua kemahiran sosial dan emosi ini boleh jadi lebih penting daripada pengetahuan akademik semata-mata,” tambah Encik Lee.
Ini merangkumi sifat belas ihsan, keupayaan meluahkan diri, menyesuaikan diri dalam persekitaran mencabar, serta keupayaan mengawal emosi dan mempunyai sifat empati terhadap orang lain.
Mengulas usaha MOE mengurangkan penekanan terhadap persaingan berasaskan pencapaian akademik agar dapat memupuk minat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar, beliau berkata:
“Ia akan mengambil masa, dan kita perlukan tiga pihak untuk memainkan peranan – prasekolah, sekolah rendah, serta ibu bapa.”
Satu lagi tumpuan penting MOE ialah usaha memperkukuh kerjasama antara sekolah dengan masyarakat bagi menyokong kanak-kanak daripada latar belakang yang lebih mencabar.
Ini termasuk keluarga yang menerima bantuan di bawah skim ComLink+, iaitu daya usaha sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Encik Lee, keluarga sedemikian memerlukan sokongan dalam aspek perumahan, pendidikan, serta pekerjaan dan kemahiran.
“Saya percaya pendekatan ini dapat memberi mereka peluang lebih baik untuk mencapai kestabilan, dapat berdikari, dan akhirnya, mencapai mobiliti sosial (meningkatkan taraf kehidupan),” ujar beliau.
Semasa melawat Tadika MOE (MK) yang terletak di dalam Sekolah Rendah Oasis, Encik Lee turut menekankan keperluan memperkukuh proses peralihan daripada prasekolah ke sekolah rendah, terutamanya melalui tadika MK.
“Landskap prasekolah kita pelbagai dan kaya, dan kita amat bertuah kerana itu. Namun, MK memberi peluang untuk menguji idea-idea bagi meningkatkan pedagogi prasekolah,” katanya.
Beliau turut menyedari bahawa ramai ibu bapa menghargai tadika MK yang beroperasi di dalam sekolah rendah, memandangkan ramai anak prasekolah kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah rendah berhampiran rumah mereka.
Program tadika MOE itu bermula pada 2014 dengan matlamat menyediakan pendidikan prasekolah bermutu dan mampu milik untuk rakyat Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg