SBS Transit tidak lama lagi akan menggunakan pembantu kecerdasan buatan (AI) untuk menangani gangguan jarak masa antara bas, apabila dua atau lebih bas di laluan sama tiba hampir serentak.

Alat AI yang dikenali sebagai FlowOS itu kini diuji pada bas 70 dan 145.

Percubaan itu akan diperluas kepada tujuh lagi laluan sebelum berakhir pada Mac 2027.

Selepas itu, alat tersebut akan digunakan pada keseluruhan kumpulan bas SBS Transit pada suku kedua 2027.

FlowOS menggabungkan data terdahulu, termasuk corak mengikut hari dan waktu, dengan maklumat masa nyata seperti lokasi bas.

Jika dua bas dari khidmat yang sama bergerak terlalu rapat, sistem memberi amaran kepada pengawal perkhidmatan dan mencadangkan tindakan untuk mengatasinya.

Pengawal perkhidmatan membuat keputusan akhir dan boleh menerima, menolak atau mengubah cadangan AI sebelum memberikan arahan kepada pemandu bas.

Ketua Eksekutif (CE) Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim, berkata alat itu membantu pengawal perkhidmatan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih lengkap dan bertindak lebih berkesan apabila timbul masalah.

“Memastikan bas bergerak pada selang masa tetap antara tugas paling rumit dalam operasi bas, terutama apabila keadaan jalan raya berubah-ubah dan sukar diramal,” katanya.

Pada 24 September, pihak media diberi peluang melihat cara FlowOS berfungsi ketika mengunjungi Depoh Bas Seletar di Yio Chu Kang.

Pengawal perkhidmatan kanan, Encik Calvin Chan, 45 tahun, berkata sebelum FlowOS diperkenalkan, beliau perlu memeriksa skrin untuk mengesan bas yang bergerak terlalu rapat.

Encik Chan, yang biasanya memantau 60 hingga 80 bas di lima laluan, berkata alat itu banyak membantunya.

Ketua Kawalan Operasi dan Sokongan bagi perniagaan bas SBS Transit, Encik Ong Jack Sen, berkata pengawal perkhidmatan sukar memantau begitu banyak bas serentak.

Encik Chan berkata jumlah bas yang banyak menyebabkan beliau kadangkala terlepas pandang bas yang memerlukan tindakan, terutama kerana beliau juga perlu menghubungi pemandu untuk meminta mereka memperlahankan perjalanan atau berhenti seketika.

FlowOS pula secara langsung mengenal pasti bas yang memerlukan perhatian dan menyenaraikannya di bahagian paling kiri skrin, lalu mengurangkan keperluan pemantauan secara berterusan.

Ia juga mencadangkan waktu bas perlu bertolak dari pusat pertukaran.

Dengan pengalaman 10 tahun, Encik Chan berkata ada kalanya beliau menolak cadangan AI.

“Saya menggunakan pengalaman dan pertimbangan untuk menentukan tindakan terbaik bagi perkhidmatan itu.

“Jika AI mencadangkan bas diperlahankan selama empat minit, saya mungkin meminta pemandu berbuat demikian selama dua minit sahaja, bergantung pada pertimbangan saya.”