Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AIC iktiraf usaha lebih 390 individu dan syarikat perbaiki penjagaan masyarakat

Rahayu: Anugerah seperti ini antara pemangkin bagi bangunkan, perkukuh tenaga kerja bidang penjagaan masyarakat
Sep 24, 2025 | 6:50 PM
penjagaan masyarakat, warga emas, AIC, CCMDA
Semangat kaunselor di Lions Befrienders, Encik Muhammad Qayyum Norshapiee, dalam memperbaiki mutu kehidupan warga emas diiktiraf melalui Anugerah Pembangunan Tenaga Manusia Penjagaan Masyarakat (CCMDA) pada 24 September. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sedang Encik Muhammad Qayyum Norshapiee menuju ke sebuah unit flat sewa satu bilik di Stirling Road, hatinya diselubungi rasa terperanjat bercampur sedih melihat seorang warga emas terbaring di atas lantai simen koridor dengan pakaian lusuh.

Ini kerana flatnya berselerak sehingga tiada ruang langsung untuk tidur di dalam rumah.

Bagi sesetengah orang, penyelesaiannya mungkin sekadar membersihkan rumah tersebut.

Namun, sebagai kaunselor di Lions Befrienders, Encik Qayyum, 33 tahun, sedar masalah itu jauh lebih mendalam daripada sekadar longgokan barangan yang berselerak.

“Setiap barangan mempunyai ceritanya tersendiri, lengkap dengan memori dan makna.

“Saya bukan sekadar ingin memberikan penyelesaian sementara tanpa memahami keperluan emosi warga emas itu terlebih dahulu,” ujar beliau yang telah berkhidmat dengan Lions Befrienders sejak 2017.

Justeru Encik Qayyum meluangkan masa beberapa minggu untuk mendengar, memahami dan membina kepercayaan dengan warga emas itu.

Ia merupakan teknik yang dipelajarinya semasa menuntut di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), tempat pengajian beliau meraih ijazah dalam bidang kaunseling.

Detik-detik sedemikian, menurut Encik Qayyum, semakin menguatkan tekadnya untuk mendalami bidang tersebut.

Beliau memutuskan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kaunseling dengan sokongan Anugerah Pembangunan Tenaga Manusia Penjagaan Masyarakat (CCMDA).

Anugerah itu diberikan kepada kakitangan dalam sektor penjagaan masyarakat, atau individu yang beralih kerjaya dengan hasrat ingin meningkatkan mutu kehidupan warga emas.

Menurut Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), anugerah itu menyokong kakitangan sektor penjagaan masyarakat dalam meningkatkan kecekapan mereka melalui latihan serta program peningkatan kemahiran.

Ini termasuk menampung hingga 90 peratus yuran pengajian, dengan baki kos dibiayai majikan syarikat masing-masing.

Lebih 1,100 individu telah meraih manfaat daripada anugerah itu sejak ia dilancarkan pada 2017.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menyampaikan anugerah tersebut kepada lebih 160 penerima semasa Majlis Anugerah Penjagaan Masyarakat Pembangunan Tenaga Manusia dan Kecemerlangan AIC di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 24 September.

Anugerah seperti CCMDA adalah antara pemangkin utama dalam membangunkan serta memperkukuh tenaga kerja penjagaan dalam masyarakat, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pada 24 September.
Anugerah seperti CCMDA adalah antara pemangkin utama dalam membangunkan serta memperkukuh tenaga kerja penjagaan dalam masyarakat, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pada 24 September. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam ucapannya, Cik Rahayu berkata anugerah seperti CCMDA antara pemangkin utama dalam membangunkan serta memperkukuh tenaga kerja bidang penjagaan masyarakat.

Pengerusi AIC, Encik Gerard Ee, dalam ucapannya pula menekankan bahawa warga emas kini bukan sahaja hidup lebih lama, malah menikmati kehidupan yang sihat dan bermakna.

Pencapaian itu adalah hasil usaha peningkatan dalam mutu perkhidmatan, dan sekali gus menyerlahkan peranan penting penjagaan yang diberikan di pusat warga emas, pusat penuaan aktif, rumah jagaan serta di kediaman sendiri.

“Komitmen anda mencerminkan tujuan yang tidak mementingkan diri sendiri dan belas kasihan yang mendalam. Sumbangan anda telah mengubah kehidupan dan memperkukuh masyarakat,” kata beliau.

Encik Ee turut menekankan pentingnya mempunyai tenaga kerja yang kuat, berkemahiran dan penuh belas kasihan untuk menyokong warga emas agar golongan itu dapat menjalani kehidupan yang bermaruah.

Selain anugerah CCMDA, majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kepimpinan Platinum di bawah Anugerah Penjagaan Masyarakat Cemerlang (CCEA) buat julung-julung kalinya.

Ia diberikan kepada Profesor Madya Adjung, Dr Kenny Tan, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di St Luke’s ElderCare.

Dr Tan telah menerajui penggunaan teknologi inovatif, seperti inisiatif terapi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memperbaharui kaedah penjagaan warga emas.

Tiga jururawat turut menamatkan Program Kepimpinan Kejururawatan Penjagaan Masyarakat (CCNLP) pada 2025 yang melatih mereka untuk memegang peranan kepimpinan dalam sektor tersebut.

Secara keseluruhan, lebih 390 individu dan syarikat diberi pengiktirafan di atas sumbangan mereka dalam bidang penjagaan masyarakat di majlis itu.

Bagi Encik Qayyum, sokongan kewangan yang datang daripada anugerah CCMDA merupakan peluang bagi beliau terus memperbaiki caranya membantu golongan warga emas.

Sambil melahirkan penghargaan dengan anugerah itu, beliau mengenang kembali kenangan manis bersama arwah neneknya yang menghidap demensia.

Menurutnya, beliau dapat melihat sendiri perubahan pada tingkah laku neneknya yang sebelum itu mampu menguruskan diri sendiri.

Akibatnya, neneknya memerlukan banyak perhatian dan penjagaan daripada masyarakat sekeliling.

“Anugerah ini adalah peluang untuk saya menambah ilmu dan suatu hari nanti membimbing kaunselor muda dalam sektor ini supaya golongan warga emas seperti arwah nenek saya dahulu terus mendapat sokongan dan penjagaan yang bermakna,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg