Paip air yang meletup pada 11 Januari di kampus pejabat Phoenix Park telah menyebabkan pejabat dan perniagaan di kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air.
Prasekolah, pusat pembelajaran, studio yoga, dan perniagaan menjahit baju merupakan antara yang terjejas daripada 11 bangunan kolonial yang terletak di Tanglin Road itu, lapor The Straits Times (ST).
Tapak seluas 59,630 meter persegi itu, yang dahulunya menempatkan pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri, kini diuruskan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA).
Menurut e-mel yang dihantar kepada penyewa pada pagi 11 Januari, sebatang paip bawah tanah telah meletup, menyebabkan air keluar dari bahagian yang bocor.
E-mel itu dihantar oleh syarikat pengurusan kemudahan, Ocean IFM, yang merupakan kontraktor yang dilantik oleh penyewa utama, LHN Group.
LHN Group menawarkan perkhidmatan pengurusan hartanah dan menyewakan sebahagian besar unit di kampus pejabat Phoenix Park kepada penyewa kecil.
Dalam e-mel tersebut, ia mengatakan bekalan air terputus dan kerja pembaikan sedang dijalankan.
Pada pagi 13 Januari, Ocean IFM menghantar satu lagi e-mel kepada penyewa kecil LHN Group, memaklumkan bahawa gangguan bekalan air akan berterusan pada hari tersebut “disebabkan keadaan yang tidak dijangka dan cuaca buruk”.
E-mel itu turut mengatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi air negara, PUB, untuk menyediakan dua tangki air di kawasan tempat letak kereta – yang diisi dengan air tidak boleh diminum – bertujuan untuk membersihkan diri.
Little Paddington Preschool, yang terletak dalam kampus Phoenix Park, adalah antara yang paling teruk terjejas akibat gangguan bekalan air itu.
ST melaporkan pada 13 Januari, pihak prasekolah memaklumkan ibu bapa dan penjaga pelajar bahawa mereka tidak dapat memastikan operasi sekolah berjalan dengan selamat kerana tiada bekalan air di tandas.
Prasekolah itu berkata mereka tidak dapat menerima pelajar untuk beberapa hari akan datang sehingga PUB dapat memulihkan bekalan air.
Ia menambah, langkah tersebut adalah satu-satunya cara memastikan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak tetap terjamin.
Pihak prasekolah turut menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan SLA dan pihak berkuasa bertanggungjawab, untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Ketua Pegawai Operasi Little Paddington Preschool, Cik Pooja Patodia, berkata kakitangan prasekolah tidak menyedari gangguan bekalan air sehingga pagi 13 Januari, apabila seorang guru mendapati tekanan air di tandas sangat rendah.
Beliau juga meluahkan kekecewaan kerana pihak prasekolah tidak dimaklumkan oleh LHN Group mengenai isu tersebut sepanjang hujung minggu, memandangkan unit mereka disewa secara langsung daripada SLA.
Menurut Cik Pooja, hari tersebut sangat mencabar kerana kakitangan prasekolah tidak dapat memandikan bayi dan mensteril botol susu dengan sebaiknya tanpa bekalan air.
Mereka terpaksa menggunakan air mineral serta pinggan pakai buang sepanjang hari.
Pemilik studio yoga Laya Studio, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lim, berkata situasi tersebut sangat sukar kerana pelanggan tidak dapat menggunakan tandas yang berfungsi.
Beliau terpaksa mengambil air dari tangki yang disediakan PUB menggunakan botol plastik, supaya pelanggan dapat menggunakannya untuk mengepam tandas atau mencuci tangan secara manual.
Cik Lim menambah, beliau tidak mampu mengubah jadual pelajarannya kerana perniagaan perlu diteruskan.
Seorang lagi penyewa, pengarah syarikat kereta Aztute Automotive, Encik Chris Tan, pula berkata beliau terpaksa mengawal pengambilan air hariannya supaya tidak kerap ke tandas.
Alternatif terdekat baginya untuk menggunakan tandas adalah di stesen minyak berhampiran, yang mengambil masa dua minit perjalanan menggunakan kereta.
Beliau berseloroh bahawa pengalaman mengumpul air dari tangki PUB mengingatkannya kepada suasana seperti “zaman catuan air” semasa perang.
Berita Harian (BH) sudah menghubungi SLA serta PUB untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg