Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas Air India: SIA, Scoot tidak temui masalah dengan suis bahan api Boeing 787

Jul 15, 2025 | 8:06 PM
SIA, SCOOT, Boeing 787-8 Dreamliner
Singapore Airlines (SIA) dan anak syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot, mengesahkan semua suis bahan api pada armada Boeing 787 mereka berfungsi dengan baik dan ia mematuhi keperluan pengawalseliaan. - Foto ST

Pemeriksaan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan kebangsaan, Singapore Airlines (SIA), dan anak syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot, mengesahkan semua suis bahan api pada armada pesawat Boeing 787 mereka berfungsi dengan baik dan ia mematuhi keperluan pengawalseliaan.

Pemeriksaan itu dibuat susulan laporan awal siasatan nahas Air India pada Jun, yang mengesan pergerakan suis bahan api pada Boeing 787-8 Dreamliner ketika pesawat berlepas, lapor The Straits Times (ST).

SIA mempunyai 26 pesawat B787 dalam armadanya, manakala Scoot pula memiliki 23 pesawat.

“Keselamatan pelanggan dan kakitangan kami adalah keutamaan utama,” kata jurucakap Kumpulan SIA kepada ST pada 15 Julai.

Selain pemeriksaan ke atas pesawat 787, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) juga menyatakan ia sedang bekerjasama dengan SIA dan Scoot untuk memeriksa suis kawalan bahan api bagi semua pesawat Boeing 737 dan 747-400F berdaftar Singapura yang masih beroperasi.

Pengarah Piawaian Penerbangan CAAS, Encik Foong Ling Huei, berkata setakat ini tiada perkara yang membimbangkan hasil daripada pemeriksaan tersebut.

Laporan sementara oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) India yang dikeluarkan pada 11 Julai menyatakan suis kawalan bahan api pesawat Penerbangan AI171 telah tertukar ke kedudukan “cut-off” (apabila bekalan bahan api untuk enjin serta-merta dihentikan) dalam masa tiga saat selepas berlepas, menyebabkan kedua-dua enjin terhenti.

Dalam rakaman suara kokpit, seorang juruterbang kedengaran bertanya mengapa suis bahan api untuk enjin dimatikan, manakala juruterbang yang seorang lagi pula menafikan berbuat demikian.

Laporan AAIB tidak menjelaskan bagaimana atau mengapa kedudukan suis bahan api tersebut bertukar.

Namun, laporan tersebut menyebut satu nasihat yang dikeluarkan pada 2018 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) yang mengesyorkan, tetapi tidak mewajibkan, pemeriksaan ciri kunci suis bahan api pada beberapa model Boeing untuk memastikan suis tersebut tidak tertukar secara tidak sengaja.

Mekanisme kunci itu memerlukan kru penerbangan mengangkat suis bahan api sebelum ia boleh ditukar pada kedudukan lain.

Sejak laporan AAIB dikeluarkan, beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia turut memulakan pemeriksaan terhadap suis bahan api itu.

Namun, Boeing dan FAA memaklumkan bahawa kunci suis bahan api Boeing selamat dan pemeriksaan tidak diperlukan, menurut laporan agensi berita, Reuters.

Pada 12 Julai, Kumpulan Air India mula memeriksa mekanisme kunci pada suis bahan api pesawat Boeing 787 dan 737 mereka.

Setakat ini, tiada masalah ditemui.

Pada 14 Julai, pihak berkuasa penerbangan India mengarahkan pemeriksaan kunci suis bahan api bagi pesawat Boeing tertentu sebelum 21 Julai. 

Korea Selatan dijangka mengeluarkan arahan serupa untuk semua syarikat penerbangannya.

Etihad Airways turut memeriksa mekanisme kunci suis bahan api Boeing dan mengingatkan kru supaya berhati-hati ketika mengendalikannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg