Mereka bukan sahaja dapat mengasah kemahiran bermain bola sepak apabila menyertai akademi Kelab Bola Sepak (FC) Sembawang City yang baru dilancarkan.
Kira-kira 80 kanak-kanak dan remaja berusia antara lima dengan 16 tahun itu juga mendapat bimbingan dalam pelajaran akademik yang disediakan kelab itu, yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Anggota Parlimen GRC Sembawang, pada 26 Januari.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kelab itu dalam pembangunan anggotanya melalui kerjasama dengan Masjid Assyafaah di Admiralty Lane.
Kelas tuisyen itu ditawarkan secara percuma di Masjid Assyafaah dua kali sebulan dan dikendalikan oleh relawan masjid.
“Kami berhasrat meningkatkan kekerapan kelas pada masa akan datang dan mendapatkan bekas guru Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengendalikan tuisyen itu juga,” ujar presiden kelab itu, Encik Farehan Hussein, kepada Berita Harian ketika ditemui di majlis pelancaran kelab itu di SPARKS@Bukit Canberra.
Usaha FC Sembawang City, yang memberi tumpuan kepada pelajaran bakat muda yang menyertainya turut menarik perhatian ibu bapa seperti Cik Shariffah Suhailah Syed Amir Hamzah, 34 tahun, yang menyertakan tiga anaknya – Safira Qailisya, 13 tahun; Safura Qairiya, 12 tahun; serta Muhammad Na’imullah, 10 tahun – dalam akademi kelab itu.
“Selalunya, kelab seperti ini hanya memberi tumpuan pada sukan, tetapi kelab ini turut menawarkan kelas tuisyen.
“Bagi saya, ini menunjukkan bahawa mereka memberi perhatian yang seimbang kepada akademik dan sukan,” ujarnya.
Kerjasama FC Sembawang City dengan Masjid Assyafaah turut membolehkan penerima zakat masjid itu menyertai latihan dengan subsidi yang besar, menjadikan latihan lebih mudah diakses oleh setiap lapisan masyarakat.
Bayaran bagi peserta biasa adalah $60 sebulan.
Bagi penerima zakat masjid tersebut yang menyertai akademi kelab bola sepak itu pula, yuran $40 dibiaya kelab dan bakinya oleh masjid.
Setakat ini, terdapat sekitar 30 penerima zakat yang menyertai akademi bola sepak itu.
“Misi kami adalah untuk menyediakan latihan bola sepak yang bermutu dan dimampui,” ujar Encik Farehan.
Beliau juga berkongsi rancangan kelab itu ingin menjadikan bola sepak lebih inklusif bagi golongan berkeperluan khas pada masa akan datang.
Ini termasuk dengan menyediakan ruang yang selamat serta mendapatkan kemudahan dan jurulatih yang sesuai untuk memenuhi keperluan mereka.
Kelab itu kini mempunyai lima jurulatih termasuk ketua jurulatihnya, Shaiful Esah, yang juga bekas pemain bola sepak nasional; pemain bola sepak nasional, Zulfahmi Arifin; serta Stephen Adejor, Kamarul Shobir dan Mohamed Aqeel Salleh.
Shaiful berkata: “Terdapat ramai bakat dan saya dapat melihat semangat yang ditunjukkan mereka. Saya gembira kerana bola sepak dekat di hati mereka, dan kami sebagai jurulatih akan berkongsi ilmu serta pengalaman kami dengan mereka.”
Kelab itu juga bakal menyertai Liga Belia Singapura (SYL) dengan pasukan kategori Bawah 10 Tahun dan Bawah 12 Tahun, serta bertanding dalam Liga Seluruh Pulau (IWL).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg