Dengan baki hanya beberapa bulan lagi sebelum Masjid Darul Makmur dibuka pada akhir suku kedua tahun 2025 ini, pihak masjid sedang berusaha dengan gigih dan penuh dedikasi untuk mengumpul dana yang masih diperlukan, sebanyak $2 juta lagi.
Warga kerja masjid mengharapkan sokongan serta sumbangan derma daripada masyarakat setempat agar kerja peningkatan dapat diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut Pengerusi Eksekutif di Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, jumlah terkumpul sudah pun mencatat $13 juta. Namun, pihak masjid masih memerlukan $2 juta lagi bagi projek peningkatan ini.
“Setakat ini, sebanyak $13 juta daripada jumlah yang diperlukan telah pun dikumpul. Kami menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat dan usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan buat masa ini perlu dipertingkatkan lagi agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai,” jelas Encik Izuan.
Masjid Darul Makmur yang sudah dibangunkan selama 38 tahun, perlu melakukan kerja peningkatan berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.
Lebih utama lagi, peningkatan perlu dengan terbinanya banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap atau juga sedang dibangunkan. Ini terletak di kawasan kejiranan Yishun, Canberra dan juga estet terbaru di Chencaru, yang bakal dibangunkan nanti.
Buat masa ini, masjid dapat menampung sekitar 3,000 jemaah setiap waktu dan setelah dipertingkat dijangka dapat menambah kapasiti ruang solat bagi lebih 4,600 jemaah.
Menyingkap kembali perjalanan masjid di Yishun Avenue 2 ini, Encik Izuan berkongsi, demi meneruskan legasi pemimpin terdahulu, Ahli Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Darul Makmur bagi penggal ke-15 masa ini bersama warga kerja masjid sepenuh masa sedang giat mengumpulkan dana bagi menampung kos untuk peningkatan masjid yang akan selesai tidak lama lagi.
Antara tumpuan utama sewaktu proses peningkatan yang sedang berjalan adalah menyediakan sebuah lif bagi memudahkan jemaah bergerak dari aras 1 ke aras 3. Buat masa ini, masjid tidak mempunyai lif dan jemaah yang hadir di masjid ini, khasnya warga senja, perlu menaiki tangga dari aras 1 untuk ke aras 2 atau 3.
Namun, usaha pengumpulan dana menerusi program dan kegiatan yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan secara sepenuhnya akibat penutupan masjid pada bulan Mei dua tahun lalu disebabkan bermulanya projek peningkatan.
Ini turut menjejas tabung harian masjid Darul Makmur kerana jumlah kehadiran jemaah terhad kepada hari Jumaat sahaja sewaktu diadakan solat Jumaat di tempat sementara, yang juga terletak di kawasan Yishun.
Pada Ahad 19 Januari 2025 lalu, pihak masjid baru sahaja melancarkan usaha mencari dana bagi projek Wakaf Bilik Darjah dan Auditorium. Wakaf tersedia ini adalah untuk bilik darjah berjumlah $30,000 atau $70,000 untuk auditorium.
Pegawai Dakwah Masjid Darul Makmur, Ustaz Muhammad Firdaus Sulaiman, berkata nama penderma yang diterima bagi wakaf ini bakal dipamerkan di ruang masjid kelak.
“Bagi penderma yang memberikan sumbangan $30,000 atau lebih, khususnya untuk wakaf yang tersedia, pihak kami akan menghargai sumbangan wakaf mereka. Pihak masjid bakal meletakkan nama penderma ini di ruang pintu bilik darjah tersebut,” jelas Ustaz Muhammad Firdaus.
Pihak masjid memberitahu bahawa slot ini terhad untuk 11 bilik darjah dan 1 auditorium sahaja.
Ustaz Muhammad Firdaus menerangkan, “Wakaf untuk projek peningkatan masjid boleh dianggap sebagai ‘sedekah jariah’, bermakna sedekah yang berterusan. Ini bermaksud, setiap kali seseorang melakukan amal ibadah atau mendapat manfaat daripada wakaf tersebut, pemberi wakaf itu akan mendapatkan pahalanya, baik ketika pemberi wakaf itu masih hidup mahupun setelah meninggal dunia.”
Ini berpandukan sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Jika seseorang mati, maka terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bagi jumlah wakaf yang lain, penderma boleh memberi sumbangan kepada Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur dengan sumbangan kepada Dana Wakaf yang diperlukan ataupun sumbangan infak khas yang sedang dijalankan pihak masjid.
Terdapat 15 masjid yang juga turut membantu dengan memberikan izin untuk Darul Makmur meletakkan tabung dana peningkatan di pekarangan masjid tersebut.
Pihak masjid juga mengadakan pungutan dari rumah oleh asatizah masjid, demi memudahkan penderma yang mempunyai halangan untuk ke pejabat masjid.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah memberi sumbangan sejak tahun 2017 untuk projek peningkatan ini,” jelas Encik Izuan lagi.
Sumbangan untuk Projek Wakaf Bilik Darjah & Auditorium
* Dengan sumbangan wakaf $30,000 nama penderma akan diletakkan di ruang pintu bilik darjah.
* Dengan sumbangan wakaf $70,000 nama penderma akan diletakkan di ruang pintu auditorium masjid.
* Hubungi talian 6752-1402 pada waktu pejabat untuk pendaftaran serta pertanyaan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg