Para pegawai di bawah Komand Keselamatan Pasukan Polis Singapura (SecCom) kini berlatih dengan menggunakan kemudahan yang dibina khas bagi memenuhi keperluan operasi dan latihan pegawai.
Kemudahan SecCom baru itu yang terletak di Toa Payoh, dilengkapi dengan tiga kemudahan utama iaitu Lapangan Menembak Tertutup, contoh bilik hotel dan Kemudahan Latihan Taktik Operasi (OTTF).
Pangkalan itu dilengkapi dengan kemudahan yang dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan.
Tugasan utama bagi para Pegawai Keselamatan Peribadi (PSO) adalah untuk memastikan keselamatan Presiden, Perdana Menteri, menteri kabinet dan kenamaan asing yang melawat Singapura.
Ketua Perancangan dan Pembangunan Organisasi di Komand Keselamatan Polis, Superintenden Candice Goh, berkata:
“Kemudahan baru ini bakal tingkatkan keupayaan latihan dan tingkatkan kapasiti latihan pegawai.
“Ini melengkapkan pegawai PSO dengan kemahiran yang diperlukan untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan terhadap sebarang insiden semasa menjalankan tugas perlindungan yang tertutup,” tambahnya.
Salah satu kemudahan yang baru ialah Lapangan Menembak Tertutup. Ia menampilkan lapangan tertutup berukuran 25 meter yang memberi pegawai SecCom ruang bagi latihan yang melibatkan senjata api.
Contohnya, mereka menembak di belakang penghadang dan menembak dari kenderaan.
Dalam satu sesi demonstrasi untuk media, senario direka semula melibatkan pegawai PSO dan Unit Perlindungan Khas (SPU) bertindak balas dalam satu serangan bersenjata.
Dengan menggunakan peranti elektronik, jurulatih boleh menguruskan sistem sasaran elektronik dari jauh.
Jurulatih juga boleh mensimulasikan pelbagai keadaan dengan keadaan lampu dan bunyi persekitaran untuk reka keadaan yang membawa tekanan.
Ini termasuk menggunakan bunyi tembakan, letupan, dan bunyi persekitaran yang mereka bakal alami dalam situasi harian.
Sistem sasaran elektronik di lapangan itu membolehkan sasaran diangkat, direndahkan atau diputar.
Ruang sebegini penting bagi mencatatkan masa reaksi pegawai dan mempersiapkan mereka untuk melaksanakan tindakan taktikal dengan ketepatan masa yang tidak jelas.
Senario ini berakhir dengan peneutralan semua ancaman dan pemindahan tetamu kehormat utama (VVIP) ke arah yang selamat yang menunjukkan respons pantas dan berkesan bagi pegawai PSO dan SPU dalam proses tersebut.
Selain itu, contoh sebuah ‘bilik hotel’ turut disediakan untuk memberi persekitaran yang realistik bagi menjalankan latihan senario yang berpelbagai bagi meningkatkan kemahiran taktikal pegawai SecCom.
Sebahagian daripada modul latihan operasi pencarian termasuk pelatih SecCom menepuk-nepuk sarung bantal dalam bilik tidur dan barang perabot di ‘ruang tamu’.
Ia menyediakan pegawai dengan pengalaman praktikal bagi mempersiapkan mereka untuk operasi sebenar.
Semasa demonstrasi itu, pihak media juga diperkenalkan kepada alat ‘Q-stick’.
Ini merupakan pembangunan inovasi bersama SecCom dan Agensi Sains & Teknologi Pasukan Home Team (HTX).
Sebelum ini, pegawai perlu memegang alat yang menyerupai cermin corvex yang disatukan dengan alat kayu, yang dipegang dengan alat lampu suluh.
Kini, ‘Q-stick’ yang baru ini menggunakan kamera definisi tinggi yang boleh berpusing 360 darjah. Rakaman kamera dapat ditonton secara langsung menggunakan telefon bimbit pegawai SecCom.
Alat baru seperti ‘Q-stick’ ini membolehkan pengendali menjalankan operasi mencari dengan selamat dan lebih cekap di kawasan yang susah dicapai seperti di atas almari tinggi.
Kemudahan Latihan Taktik Operasi (OTTF) pula menampilkan antara lain dinding palsu yang mudah dialih, membolehkan objektif latihan yang berpelbagai, termasuk senario yang melibatkan kenderaan dan keadaan cahaya rendah.
Kaedah latihan itu membolehkan peserta mengamalkan cara teknik berbeza yang memerlukan keputusan dan respons pantas dalam persekitaran terkawal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg