Angin kencang dan hujan lebat melanda Singapura pada malam 17 September, menyebabkan beberapa pohon tumbang, kerosakan pada kanopi kaca di luar Plaza UOB, serta keadaan lalu lintas yang perlahan.
Beberapa foto dan video yang dimuat naik ke laman sosial menunjukkan dahan dan pohon tumbang di pelbagai lokasi di Singapura termasuk Beach Road, Xilin Avenue, Jalan Membina, di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) sebelum susur keluar Ekspreswe Bukit Timah (BKE), dan Ekspreswe Central (CTE) berhampiran Jejambat Yio Chu Kang.
Satu video merakam kejadian pokok tumbang bertentangan Parkroyal di Beach Road yang menyebabkan terhentinya lalu lintas di laluan tersebut, dan para pemandu perlu bergerak di lorong paling kanan.
Di West Coast Highway, Encik Muhammad Elfi, 37 tahun, seorang pengurus jualan, sedang dalam perjalanan pulang apabila sebatang dahan besar terjatuh di atas keretanya sebelum beliau memasuki Jejambat Keppel. Mujur beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dan dapat meneruskan perjalanan pulang.
Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menulis dalam catatan Facebooknya bahawa beberapa pokok di Nee Soon Central tumbang ketika hujan lebat. Beliau akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk membersihkan dahan dan batang pokok yang tumbang.
Di Raffles Place, beberapa serpihan logam dan kaca kelihatan berselerak di sebuah laluan di luar Plaza UOB dan bilik pameran kereta Xpeng. Sebahagian daripada kanopi kaca di luar Plaza UOB 2 juga pecah.
Jurucakap UOB memberitahu The Straits Times (ST) bahawa panel kaca daripada kanopi itu pecah bukan berasal dari bangunan bank dan tiada kecederaan dilaporkan.
Wakil One Raffles Place pula, ketika ditanya tentang kesan kejadian hujan lebat itu, berkata: “Akibat hujan lebat dan angin kencang... kira-kira 8 malam, panel kaca dari One Raffles Place terjejas”.
Kawasan yang terjejas telah dikepung dan akses ke kawasan itu dihadkan sehingga penilaian keselamatan selesai.
Pada 16 September, Khidmat Kaji Cuaca Singapura (SMS) berkata ribut Sumatera mungkin membawa hujan petir dan angin kencang selama beberapa hari dalam dua minggu akan datang, dengan lebih banyak hujan dijangka turun menjelang akhir September ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg