Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkhbar tabla! lancar siri perkongsian pemimpin, perkukuh hubungan dua hala S’pura-India
Akhbar tabla! lancar siri perkongsian pemimpin, perkukuh hubungan dua hala S’pura-India
Akhbar tabla! lancar siri perkongsian pemimpin, perkukuh hubungan dua hala S’pura-India
Pemimpin perniagaan kaum India di Singapura telah berhimpun pada 21 Oktober untuk berkongsi dan membincangkan cara menangani pelbagai peraturan serta persekitaran perniagaan yang kompleks di India.
Edisi sulung siri perkongsian pemimpin oleh akhbar tabla!, ‘tabla! Leadership Exchange Series’ ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perdagangan serta hubungan dua hala antara Singapura dan India.
Akhbar tabla! merupakan akhbar mingguan bahasa Inggeris yang diterbitkan akhbar Tamil Murasu.
Merasmikan acara tersebut, penyunting penyelia tabla!, Encik T. Raja Segar, menyatakan bahawa dialog itu bertepatan dengan pelancaran ruang ‘Perniagaan’ baharu dalam tabla! bagi “mengetengahkan tokoh perniagaan terkemuka, menampilkan usahawan berpotensi, memaparkan perkembangan perdagangan, serta berkongsi kisah inovasi dan kepimpinan dalam masyarakat”.
Para hadirin turut mendengar ucapan daripada Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, yang hadir sebagai tetamu terhormat.
Sesi dialog itu merupakan usaha sama antara tabla! dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura (SICCI).
Ketua Pegawai Eksekutif SICCI, Encik Predeep Menon, menyambut baik kerjasama dengan tabla! dan berkata bahawa dialog sulung ini menegaskan keutamaan SICCI untuk terus meningkatkan rangkaian jalinan perniagaan pelbagai sektor dan ekonomi yang luas di India.
Encik Predeep memerhati bahawa dunia telah berubah dan dengan terdapat dasar unilateral, tarif dan peperangan mengemukakan cabaran hebat kepada komuniti perniagaan.
Beliau berkata adalah penting bagi perniagaan untuk sentiasa mengikuti perkembangan ekonomi semasa dan memahami pemikiran serta dasar pemerintah.
Dalam ucapannya, Cik Gan berkata hubungan antara India dengan Singapura semakin berkembang dan terdapat keinginan untuk meningkatkan usaha di peringkat pemerintah.
“India merupakan pasaran yang besar dan mempunyai potensi yang sangat luas, namun ia bukan pasaran yang mudah,” kata Cik Gan.
Cik Gan menambah bahawa India mempunyai pelbagai negeri yang berbeza, dan “setiap negeri beroperasi secara agak autonomi serta mempunyai set peraturan, lanskap perniagaan dan budaya yang berbeza.”
“Bukan mudah bagi warga tempatan, rakyat Singapura, yang berasal daripada populasi yang sangat kecil, untuk dapat memahami, menangani, dan menyesuaikan diri dengan cepat.
“Justeru, di peringkat pemerintah, kami bertekad untuk mewujudkan lebih banyak ruang penghubung antara komuniti perniagaan di kedua-dua belah pihak,” tambah beliau.
Cik Gan menggalakkan perniagaan Singapura yang berminat dengan persekitaran operasi di India untuk mendaftar masuk atau mengunjungi pusat perniagaan yang telah ditubuhkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di Bengaluru pada November 2025.