Warga emas di 60 Pusat Penuaan Aktif (AAC) serata Singapura akan menerima berita dalam berbilang bahasa, dibacakan berita tertentu dan mendapat kandungan yang dilakar khas agar golongan ini menua secara aktif dan kekal sedia maklum.
Ini dilakukan melalui inisiatif Let’s Talk News, atau Bicara Berita, iaitu program perkongsian berita berteraskan masyarakat yang diterajui Yayasan SPH dan SPH Media.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Baey Yam Keng, di Our Tampines Hub pada 26 Oktober.
“Dengan usaha dan kerjasama semua pihak, warga emas dalam masyarakat kita akan terus kekal aktif, diperkasa, dan berupaya menua secara sihat sambil menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas.
“Warga emas di AAC juga akan digalakkan untuk tampil dan memimpin sesi perkongsian kandungan berita bersama rakan sebaya mereka, sekali gus memupuk hubungan yang lebih erat sambil belajar bersama,” kata Encik Baey.
Antara warga emas yang akan memainkan peranan sebagai pemimpin sesi perkongsian itu termasuk Cik Halima Ahmad, 62 tahun.
Sebagai sukarelawan di pusat penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas PCF Sparkle Care@Eunos, beliau sering meluangkan masa dengan rakan sebaya yang lain.
“Saya secara peribadi memang menggunakan aplikasi Berita Harian (BH) untuk membaca berita. Namun, saya berharap dengan adanya inisiatif baru ini, lebih ramai rakan saya di Sparkle Care akan lebih terdorong membaca akhbar fizikal dan belajar menggunakan aplikasi berita juga,” ujar Cik Halima ketika ditemui BH.
Yayasan SPH dan SPH Media akan menyediakan akses kepada akhbar melalui wadah cetak dan digital.
Ini termasuk akhbar utama di bawah SPH Media seperti Berita Harian, Tamil Murasu, Lianhe Zaobao dan The Straits Times.
Program itu akan turut menampilkan buku dan bahan digital terpilih, hasil kerjasama dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), bagi meningkatkan pembacaan dalam kalangan warga senja.
Ini selain sesi perkongsian interaktif yang diadakan di lokasi kejiranan, merangkumi topik seperti penipuan dan kesihatan, tambah SPH Media.
Di samping itu, SPH Media berkata program itu juga membuka ruang bagi pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk menyumbang secara sukarela dalam sesi perkongsian – SPH Media akan menyediakan latihan dalam talian agar pelajar yang berminat dapat memberi perkongsian sedemikian.
Inisiatif tersebut disokong Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY); Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC); NLB; NTU dan badan penjagaan masyarakat.
Ia ditaja Persatuan Bank Singapura dan syarikat ubat suplemen tempatan, Holistic Way.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg