Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah risau, pastikan ada tanda  ‘gov.sg’

Jul 23, 2024 | 11:17 AM
Terus berwaspada. Pastikan SMS yang anda diterima mempunyai tanda ‘gov.sg’ jika ia dikirim daripada agensi pemerintah.
Terus berwaspada. Pastikan SMS yang anda diterima mempunyai tanda ‘gov.sg’ jika ia dikirim daripada agensi pemerintah. - Foto ISTOCKPHOTO

Telefonnya berbunyi dengan pemberitahuan yang kerap daripada ibu bapanya. Mereka hantar lagi tangkap layar SMS yang mengandungi pautan yang tidak diingini.

“Adakah ini benar? Boleh saya klik?” Ibu bapa Cik Seow Xin Er, kedua-duanya berusia awal 60-an tahun, akan bertanya.

Mesej ini selalunya mendakwa dikirimkan oleh agensi pemerintah seperti Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras), kata karyawan komunikasi berusia 32 tahun itu.

Laporan tentang penipuan seperti penipuan pancingan data dan yang melibatkan penyamar sebagai pegawai pemerintah telah membuatkan pasangan warga senja itu gelisah dengan SMS yang mereka terima. Tetapi “mereka juga bimbang ia mungkin juga mesej teks (yang sah) daripada pemerintah”, kata Cik Seow.

Memandangkan ibu bapanya “tidak begitu celik digital”, beliau menambah, “sukar bagi mereka memahami cara mengenal pasti penipuan atau mesej yang mencurigakan”.

Kini, terdapat cara lebih mudah untuk mengetahui adakah mesej teks itu benar-benar daripada pemerintah.

Sejak 1 Julai lalu, semua SMS yang dihantar daripada agensi pemerintah menunjukkan “gov.sg” sebagai ID pengirim, kecuali mesej teks mengenai hal Perkhidmatan Negara dan perkhidmatan kecemasan. Lihat senarai penuh pengecualian di sms.gov.sg/exceptions.

ID penghantar gov.sg “membolehkan orang ramai lebih mudah mengesahkan pemberitahuan pemerintah yang dihantar melalui SMS itu sahih, dengan lebih yakin dan tepat,” kata Encik Hygin Fernandez, penolong pengarah untuk dasar, Produk Pemerintah Terbuka (OGP).

“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pengagregat SMS akan secara konsisten menyekat SMS dengan ID penghantar palsu yang menyerupai gov.sg,” tambahnya.

OGP ialah bahagian Agensi Teknologi Pemerintah yang memberi tumpuan kepada pembinaan dan penggunaan teknologi untuk kebaikan awam.

Sahkan dengan mudah

SMS yang sah daripada pemerintah sepatutnya mempunyai empat tanda berikut:

* ID pengirim ialah gov.sg dengan semua huruf dalam huruf kecil.

* SMS bermula dengan nama penuh agensi atau perkhidmatan yang menghantarnya.

* SMS itu berakhir dengan nota ini: “Ini mesej automatik yang dihantar oleh Pemerintah Singapura”.

* SMS daripada gov.sg akan dikumpulkan ke dalam satu perbualan, walaupun ia daripada agensi yang berbeza.

Cik Seow mengalu-alukan daya usaha ini. “Ini pasti akan membantu warga emas seperti ibu bapa saya,” katanya “kerana ia tidak terlalu mengelirukan”.

Penggabungan ID pengirim di bawah gov.sg akan dapat membantu mengurangkan bilangan mereka yang menjadi mangsa kepada mesej penipuan yang berpura-pura daripada agensi pemerintah, kata Superintenden Polis Matthew Choo, penolong pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, Pasukan Polis Singapura.

Beliau menegaskan bahawa pegawai pemerintah, terutamanya pegawai polis, tidak akan sekali-kali meminta orang ramai melakukan perkara berikut melalui telefon atau melalui mesej teks:

* Melakukan pemindahan wang ke dalam akaun bank;

* Meminta maklumat peribadi seperti maklumat perbankan, SingPass atau CPF anda;

* Meminta anda klik pautan yang bawa kepada laman web bank atau;

* Meminta anda menggunakan atau muat turun aplikasi atau perisian daripada laman web pihak ketiga.

Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. SMS kiriman dari agensi pemerintah kini mempunyai tanda ‘gov.sg’
Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. SMS kiriman dari agensi pemerintah kini mempunyai tanda ‘gov.sg’ - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg