Mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, mendiang Encik Ong Ah Heng, merupakan seorang AP yang sangat dekat dengan rakyat dan telah banyak menyumbang kepada kehidupan penduduk di Nee Soon.

Dalam catatan Facebook pada 6 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Encik Ong telah mendedikasikan hayatnya untuk berbakti kepada Singapura dan rakyatnya, serta meninggalkan legasi perkhidmatan dan dedikasi.

Encik Wong berkata: “Beliau telah bersuara bagi golongan pekerja dan rakyat Singapura biasa tanpa lelah, sentiasa berpaksikan kepada keperluan rakyat.

“Ramai dalam kalangan kita akan mengingati Ah Heng sebagai teman seperjuangan yang rendah hati dan amat setia.

“Beliau teguh dengan pendiriannya dan berjuang demi apa yang beliau yakini.

“Ah Heng telah baru sahaja mengundurkan diri apabila saya menyertai politik pada 2011. Namun, beliau selalu sedia untuk memberi nasihat dan sokongan.”

Mesra dikenali sebagai “AP Kopitiam” kerana hubungan akrabnya dengan golongan pekerja, mantan AP PAP, Encik Ong, telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Mei pada usia 84 tahun.

Namun punca kematiannya tidak dikongsikan kepada pihak media.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, turut berkata dalam satu hantaran Facebook pada 6 Mei, bahawa beliau pertama kali mengenali Encik Ong bukan sekadar sebagai rakan AP, malah sebagai seorang insan yang mencerminkan semangat berbakti yang rendah hati lagi tulus, yang menjadi tunjang bagi gerakan pekerja dan kerja akar umbi di Singapura.

Menyifatkan mendiang sebagai “rendah hati” dan “mudah didekati”, Encik Shanmugam berkongsi bahawa Encik Ong selalu percaya dalam berkhidmat melalui pelbagai cara.

Selain politik, Encik Ong juga telah menyumbang dan berperanan dalam perkhidmatan awam.

“Sesiapa di antara kami yang pernah berkhidmat bersama beliau sangat mengetahui hal ini. Beliau percaya dalam mengekalkan hubungan dekat dengan akar umbi. Sentiasa rapat dengan rakyat,” tambah Encik Shanmugam.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang berkhidmat sebagai AP GRC Nee Soon antara 2011 dengan 2025, berkata:

“Encik Ong Ah Heng merupakan seorang AP yang sangat rendah hati. Beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada kehidupan penduduk di GRC Nee Soon.

“Beliau sering dilihat turun padang ke kedai kopi untuk mendengar keperluan para penduduk. Kami akan amat merindui beliau.”

Dalam satu laporan BH pada 2011, Dr Faishal – yang ketika itu bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Nee Soon buat kali pertama dalam pilihan raya umum 2011 – telah berkongsi bahawa Encik Ong telah membantunya menyesuaikan diri dengan penduduk di kawasan Nee Soon sewaktu peralihan beliau ke kawasan itu dari GRC Marine Parade.

Dr Faishal kini AP GRC Marine Parade-Braddell Heights menyusuli pilihan raya umum 2025.

Dalam laporan BH pada 2011, Dr Faishal telah berkongsi bahawa Encik Ong telah membantunya menyesuaikan diri dengan penduduk di kawasan Nee Soon sewaktu peralihan beliau ke kawasan itu dari GRC Marine Parade pada pilihan raya 2011.
Dalam laporan BH pada 2011, Dr Faishal telah berkongsi bahawa Encik Ong telah membantunya menyesuaikan diri dengan penduduk di kawasan Nee Soon sewaktu peralihan beliau ke kawasan itu dari GRC Marine Parade pada pilihan raya 2011. - Foto fail

Mendiang Encik Ong sudah lama menjadi pemimpin akar umbi di Nee Soon Central apabila beliau bertanding dalam pilihan raya di sana sebagai calon PAP pada 1997 dan berjaya merampas kerusi tunggal daripada Parti Demokratik Singapura (SDP).

Tokoh veteran PAP itu berkhidmat di kawasan tersebut selama empat penggal sehingga 2011 sebelum bersara daripada politik.

Seorang pemimpin kesatuan veteran, Encik Ong menyertai gerakan pekerja pada 1980 dan berkhidmat selama bertahun-tahun sebagai setiausaha eksekutif Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), sebelum meningkat naik dalam Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk menjadi penolong setiausaha agung.

“Saya banyak terhutang budi kepada sistem meritokrasi. Tidak ada banyak negara di mana anda boleh bermula sebagai pekerja pembinaan dan akhirnya mendapat ijazah sarjana,” katanya kepada NTUC News pada 1996.

“Adalah wajar saya membalas budi masyarakat dengan melibatkan diri saya dalam kerja kemasyarakatan – dalam gerakan pekerja dan dalam organisasi akar umbi yang lain.”

Dalam satu surat takziah ditulis oleh Presiden NTUC, Cik K. Thanaletchimi, dan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, mereka menyifatkan Encik Ong bukan sahaja sebagai seorang pemimpin yang dihormati, malah juga seorang rakan seperjuangan yang amat dihargai dalam gerakan pekerja.

“Sumbangan beliau merangkumi beberapa dekad khidmat penuh dedikasi kepada para pekerja, kesatuan sekerja dan NTUC.

“Melalui kepimpinan beliau, Encik Ong memperjuangkan kepentingan para pekerja, khususnya dalam sektor pengangkutan, dan membantu memperkukuh komitmen gerakan pekerja kita dalam melindungi mata pencarian serta memajukan kesejahteraan pekerja,” tambah mereka.

Menyifatkan mendiang Encik Ong sebagai “rendah hati” dan “mudah didekati” dalam hantaran Facebooknya, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam berkongsi bahawa Encik Ong selalu percaya dalam berkhidmat melalui pelbagai cara.
Menyifatkan mendiang Encik Ong sebagai “rendah hati” dan “mudah didekati” dalam hantaran Facebooknya, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam berkongsi bahawa Encik Ong selalu percaya dalam berkhidmat melalui pelbagai cara. - Foto fail

“Beliau (mendiang Encik Ong Ah Heng) telah bersuara bagi golongan pekerja dan rakyat Singapura biasa tanpa lelah, sentiasa berpaksikan kepada keperluan rakyat.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong

“Sesiapa di antara kami yang pernah berkhidmat bersama beliau sangat mengetahui hal ini. Beliau percaya dalam mengekalkan hubungan dekat dengan akar umbi. Sentiasa rapat dengan rakyat.”
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

“Beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada kehidupan penduduk di GRC Nee Soon. Beliau sering dilihat turun padang ke kedai kopi untuk mendengar keperluan para penduduk.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.