Surat oleh seorang rakyat Singapura yang berkongsi kisahnya dapat pulang ke tanah air dengan selamat di tengah-tengah krisis Timur Tengah menyentuh hati sehingga mengundang sebak dalam diri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika membacakannya di Rapat Hari Pekerja pada 1 Mei.

Surat itu, yang ditulis Encik Nishar Keshvani dan telah diterbitkan dalam ruang forum The Straits Times pada 12 Mac, mengimbas detik beliau dan keluarganya menaiki pesawat evakuasi di Riyadh, Arab Saudi, disambut mesra oleh anggota perkhidmatan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dengan ucapan “Selamat kembali ke tanah air” (welcome home).