Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkses ikut umur, reka bentuk lebih selamat di media sosial bagi lindung belia
Akses ikut umur, reka bentuk lebih selamat di media sosial bagi lindung belia
Josephine Teo: Menyekat akses media sosial bagi bawah 18 tahun berpotensi jadi satu landskap yang berbeza-beza
Akses ikut umur, reka bentuk lebih selamat di media sosial bagi lindung belia
Pemerintah bersedia menyekat akses media sosial bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun sekiranya penyedia platform gagal mempunyai langkah perlindungan yang diperlukan, walaupun ia bukan hasil yang ideal bagi Singapura, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Berucap pada satu perbincangan forum pada 17 Julai, Cik Teo berkata sekatan akan dikenakan terhadap platform yang tidak selamat untuk kanak-kanak, manakala platform yang mempunyai langkah perlindungan boleh terus beroperasi.
“Ia berpotensi menjadi satu landskap yang berbeza-beza, di mana sesetengah platform telah berjaya menyediakan akses selamat buat kanak-kanak dan terus menawarkan akses kepada mereka yang bawah 18 tahun, tetapi mungkin ada perkhidmatan lain yang sama ada tidak bersedia atau tidak mampu berbuat demikian,” kata Cik Teo.
Penyedia platform juga perlu memikul tanggungjawab langsung terhadap ciri-ciri reka bentuk yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna, kata Cik Teo, sambil memetik cadangan daripada pakar untuk menyekat ciri-ciri seperti keupayaan memainkan video secara automatik.
“Keselamatan bukan sekadar apa yang anda lihat atau dengar pada platform-platform ini. Ia juga soal berapa kerap anda dipujuk untuk terus kekal di situ, dan jenis interaksi yang dibenarkan berlaku menerusi platform tersebut,” kata beliau.
Dianjurkan bersama oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Institut Pengajian Dasar (IPS), perbincangan forum itu memberi tumpuan kepada keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak.
Ahli panel termasuk penyelidik, rakan masyarakat, dan penggubal dasar dari Singapura, Australia, dan New Zealand.
“Jika kita mahu anak kita berkembang maju dalam mana-mana persekitaran, melindungi mereka daripada bahaya hanyalah sebahagian daripadanya.
“Menyediakan mereka untuk berdepan realiti persekitaran tersebut adalah sama, jika tidak lebih penting dalam jangka panjang,” kata Cik Teo.
Ini mungkin bermakna mengubah suai akses berdasarkan umur: kanak-kanak bawah umur tertentu tidak boleh menggunakan media sosial, manakala kanak-kanak yang lebih berusia boleh mengakses lebih banyak ciri dengan bimbingan.
Belia lebih menggemari akses berperingkat yang memberi sedikit halangan bersasar, berbanding sekatan yang meluas, demikian menurut ketua pegawai eksekutif YouthTechSG, Encik Ben Chua, yang memetik satu tinjauan dalaman terhadap 166 belia di Singapura.
“Ramai peserta bimbang mengenai kesan mendadak sekiranya akses ditangguhkan terlalu lama, golongan muda mungkin akhirnya memasuki ruang dalam talian tanpa pendedahan beransur-ansur, daya pertimbangan, dan sokongan yang diperlukan untuk mengharunginya dengan baik,” ujar beliau.
“Mereka faham bahawa media sosial mungkin bukan persekitaran terbaik bagi usia awal remaja, tetapi mereka mengiktiraf bahawa masyarakat dalam talian kini memainkan peranan teras dalam budaya belia, rasa kepunyaan, dan jati diri.”
Langkah Australia menyekat pengguna bawah usia 16 tahun daripada mengakses media sosial tidak seharusnya dilihat sebagai sekatan menyeluruh, tetapi sebagai penangguhan masa untuk kanak-kanak membina hubungan dunia sebenar dan kemahiran literasi digital, kata ahli panel yang juga pengurus eksekutif pemangku bagi eSafety Commissioner Australia, Cik Sarah Fox.
Cik Fox berkata walaupun terdapat penurunan dalam bilangan akaun media sosial yang dimiliki oleh rakyat Australia bawah usia 16 tahun berikutan langkah tersebut, bilangan akaun sebegitu masih banyak.
