Pelanggan StarHub, pada 30 Mei, telah mengadu tentang gangguan perkhidmatan selama sekurang-kurangnya dua jam, yang tidak membolehkan sesetengah mereka menggunakan Internet.
Menurut komen di akaun Facebook StarHub, pelanggan melaporkan gangguan di pelbagai kawasan di seluruh Singapura, termasuk Punggol, Sengkang, Hougang, Yishun dan Ang Mo Kio.
Beberapa pelanggan turut membuat aduan di laman media sosial StarHub bahawa gangguan tersebut menjejas kerja mereka dari rumah.
Laman web pemantauan gangguan, Downdetector mencatatkan kira-kira 993 laporan pada 11.31 pagi dan memuncak kepada 6,987 laporan pada 11.46 pagi 30 Mei. Selepas 1 petang, masih terdapat lebih 500 laporan yang direkodkan.
Menurut The Straits Times (ST), Downdetector berkata ia “memantau dan menganalisis isyarat daripada platform dalam masa nyata untuk mengesan secara automatik insiden dan gangguan perkhidmatan pada peringkat awalnya”.
“Saya sedang membuat panggilan mesyuarat kerja separuh jalan apabila Wi-fi terputus. Sungguh tidak terkata,” kata pengguna Facebook, Kamichi Ko pada 12.20 tengah hari.
Pada 12.16 tengah hari, StarHub berkata dalam satu hantaran di Facebook bahawa ia sedang membetulkan isu dengan perkhidmatan jalur lebar tetapnya, dan ia memohon maaf atas kesulitan tersebut.
Dalam satu kemas kini pada 12.40 tengah hari, ia turut mengatakan bahawa separuh daripada perkhidmatan telah dipulihkan, dan menasihati pelanggan supaya mematikan dan menghidupkan semula peranti mereka.
Bagaimanapun, beberapa pelanggan telah memberikan komen kepada hantaran itu dan berkata mereka masih tidak dapat mengakses Internet selepas 1 petang.
ST telah menghubungi StarHub untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg