Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aktif bersenam sambut Hari Kebangsaan di 5 estet kejiranan

Jul 11, 2023 | 5:22 PM
HIDUP AKTIF: Pesta Kejiranan GetActive! Singapura menampilkan pelbagai kegiatan sukan dan permainan menarik di lima estet kejiranan pada 5 dan 6 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan.
HIDUP AKTIF: Pesta Kejiranan GetActive! Singapura menampilkan pelbagai kegiatan sukan dan permainan menarik di lima estet kejiranan pada 5 dan 6 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan. - Foto ST

Sambutan ulang tahun Singapura pada 2023 mengajak warga Singapura kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi pelbagai kegiatan sukan dan permainan menarik di lima estet kejiranan serata negara.

Dinamakan Pesta Kejiranan GetActive! Singapura, acara yang bertujuan mendekati warga Singapura bagi menyambut Hari Kebangsaan itu akan berlangsung pada 5 dan 6 Ogos, iaitu hujung minggu sebelum ulang tahun ke-58 Singapura yang jatuh pada 9 Ogos.

Pesta itu akan diadakan di empat kemudahan sukan – Pusat Sukan Bedok ActiveSG, Pusat Sukan Jurong West ActiveSG, Pusat Sukan Toa Payoh ActiveSG dan Pusat Sukan Woodlands ActiveSG – pada 5 dan 6 Ogos.

Sementara itu, acara di satu lagi lokasi, Our Tampines Hub, akan berlangsung pada 6 Ogos.

Pada 9 Ogos, penduduk boleh meraikan ulang tahun Singapura dari estet kejiranan mereka dengan menyaksikan acara terbang lintas hormat seperti segmen ‘Kibarkan Bendera Kita’ dan ‘Terbang Lintas Pulau RSAF55’ mulai 5.30 petang.

Pertunjukan bunga api juga akan dinyalakan di setiap dari lima estet kejiranan yang terlibat, secara serentak dengan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang.

Sambutan NDP di estet kejiranan tahun ini adalah anjuran bersama Majlis Sukan Singapura (SportSG).

Pengerusi jawatankuasa sambutan kejiranan NDP 2023, Kolonel Teng Shin Fong, berkata:

“Bagi tahun ini, kami ingin membawa ‘rasa’ sambutan di kejiranan yang berbeza kepada warga Singapura merentasi semua lapisan usia.

“Bekerjasama dengan SportSG, kami dapat memanfaatkan rangkaian luas kemudahan sukan untuk warga Singapura menikmati kegiatan sukan dan permainan menarik sebagai sebahagian sambutan di kejiranan.”

Pesta Kejiranan GetActive! Singapura, yang berlangsung selama lima jam mulai 4 petang, menampilkan pelbagai program dan kegiatan sesuai untuk semua lapisan usia dan seisi keluarga.

Ini termasuk percubaan sukan seperti olahraga, bola sepak, hoki dan tenis meja.

Peserta juga boleh mencuba kegiatan menarik termasuk memanah, bermain papan luncur, Nerf dan bola Zorb.

Permainan kampung seperti ‘hentam bola’ turut disediakan untuk memperkenalkan permainan lama kepada generasi muda. Antara kegiatan lain yang disajikan termasuk persembahan dan pameran.

Ketua ActiveSG di SportSG, Encik Tan Hock Leong, berkata:

“Tahun ini, kami mengambil peranan lebih besar dan kami rasa ada nilai untuk membawa sukan kepada masyarakat. Kami memanfaatkan prasarana, komuniti dan rangkaian kami untuk cuba membawa cara sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza dan pada masa yang sama, melahirkan gaya hidup yang aktif menerusi sukan.”

Seramai 1,800 relawan Team Nila, iaitu kumpulan relawan SportSG, juga akan tampil menyingsing lengan bagi menjayakan Pesta Kejiranan GetActive! Singapura.

Antara mereka ialah Cik Sarah Qistina Abdullah, 20 tahun.

Pelajar tahun ketiga di Politeknik Republic itu, yang memburu Diploma dalam Kejurulatihan Sukan, akan menggalas beberapa peranan termasuk mengendalikan kegiatan percubaan sukan yang disediakan dan mengagihkan beg kepada peserta temasya.

“Saya rasa gembira dapat menyumbang kembali kepada masyarakat sebab ia adalah sambutan yang amat berharga. Ada banyak kegiatan yang telah dianjurkan dan ia adalah peluang yang baik untuk merapatkan hubungan antara anggota keluarga semasa Hari Kebangsaan,” kata Sarah, yang menyertai Team Nila sejak 2019.

Tiada bayaran dikenakan untuk ke Pesta Kejiranan GetActive! Singapura. Namun, ia tetap memerlukan tiket bagi mengawal bilangan peserta dalam satu-satu kawasan mengikut masa,  menurut penganjur.

Butiran lanjut akan diumumkan di laman web NDP pada Rabu mulai 12 tengah hari.

Sambutan Hari Kebangsaan di kejiranan

  1. Pesta Kejiranan GetActive! Singapura di lima estet kejiranan pada 5 dan 6 Ogos
  2. Diadakan di Pusat Sukan Bedok ActiveSG, Pusat Sukan Jurong West ActiveSG, Pusat Sukan Toa Payoh ActiveSG, Pusat Sukan Woodlands ActiveSG (5 dan 6 Ogos) dan Our Tampines Hub (6 Ogos)
  3. Pelbagai kegiatan seperti percubaan sukan, kegiatan mencuba pengalaman baru antaranya bermain papan luncur dan memanah dan permainan kampung
  4. Berlangsung pada 4 petang hingga 9 malam
  5. Masuk percuma tetapi memerlukan tiket. Butiran lanjut untuk memohon tiket akan diumumkan di laman web NDP pada Rabu mulai 12 tengah hari.
  1. Acara terbang lintas hormat dan pertunjukan bunga api pada 9 Ogos
  2. Dua helikopter Chinook CH-47SD akan mengendalikan segmen ‘Kibarkan Bendera Kita’ pada sekitar 5.30 hingga 6.30 petang melalui dua laluan – Barat dan Timur.
  3. Laluan Barat merangkumi kawasan Woodlands, Choa Chu Kang, Jurong dan West Coast; manakala laluan Timur melalui kawasan Bukit Timah, Toa Payoh, Bishan, Ang Mo Kio, Sengkang, Punggol, Pasir Ris, Tampines, Changi, Bedok dan Marine Parade.
  4. Pada 5.40 hingga 6.10 petang, Pengangkutan Kereta Kebal Pelbagai Peranan (MRTT) A330 bersama dua pesawat pejuang F-16D+ dan tiga F-15SG akan melakukan ‘Terbang Lintas Pulau RSAF55’ di Jurong West, Woodlands, Toa Payoh, Tampines dan Bedok.
  5. Pertunjukan bunga api dinyalakan di lima estet kejiranan secara serentak dengan Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang antara 8.15 dengan 8.25 malam.
  6. Tontonan bagi orang awam di lokasi akan berdasarkan yang dahulu didahulukan. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg