Pendekatan yang diambil untuk membina negara dan menggubal dasar telah kian berubah bersesuaian dengan peredaran masa, dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bukan sahaja mendengar malah mengambil kira setiap suara rakyat meskipun ia pelbagai.
Demikian jaminan yang diberi Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, ketika ditemui wartawan setelah majlis Anugerah dan Persidangan PAP 2025 yang diadakan di Singapore Expo pada 9 November.
Menggambarkan usaha pemerintah mendekati rakyat, Cik Rahayu, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Jurong, berkata di peringkat kawasan undi, para AP kini semakin proaktif mendekati golongan muda dan mengadakan dialog atau perbincangan dengan mereka sebelum dasar diperkenalkan, semasa dasar digubal dan selepas dasar dilaksanakan.
Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja membolehkan pihak pemerintah kongsi pemikiran mereka, malah menerima pandangan yang dapat memperbaiki dan memperkukuh dasar mahupun inisiatif yang bakal dilaksanakan buat masyarakat.
“Saya rasa sekarang, dengan orang ramai lebih berpendidikan, lebih terdedah dan lebih terhubung dengan dunia, mereka mempunyai pandangan dunia yang berbeza.
“Kami mahu memastikan kami mendengar mereka dan memahami pandangan tersebut, serta mencapai konsensus dan persefahaman tentang naratif yang ingin dibawa untuk Singapura. Atau apakah visi bersama yang kita miliki untuk pembinaan negara,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai kejadian yang berlaku di Masjid Al-Istiqamah baru-baru ini, apabila sampul surat mengandungi seketul daging khinzir dan nota bertulis ‘halal BaBi chop’ dihantar ke masjid itu, Cik Rahayu berkata penting untuk masyarakat menetapkan batas yang sama sekali tidak boleh dilepasi atau ‘red lines’.
“Apabila sesuatu perkara yang mungkin kita tidak terima dalam masyarakat (berlaku), di luar landasan kita, kita harus memberi reaksi dan menetapkan apa yang kita mahu dalam masyarakat.
“Kita tidak boleh berkata ‘tak apa, tak mengapa’,” kata Cik Rahayu, sambil menambah semana kecil pun perkara tersebut, terdapat keperluan untuk masyarakat saling mengingati.
Memelihara batas tersebut adalah cara sifat terangkum dapat dipupuk, membolehkan masyarakat berbeza hidup bersebelahan untuk menikmati keadaan kehidupan di Singapura, kata Cik Rahayu lagi.
Menyentuh tentang usaha membantu masyarakat Melayu/Islam berdepan dengan cabaran serta perubahan akan datang, Cik Rahayu berkata ia pendekatan pelbagai rampang.
Selain sumber sedia ada yang boleh diakses masyarakat umum bagi memastikan tiada yang ketinggalan, terdapat juga rangkaian bersama M Kuasa Tiga (M³), Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan badan-badan Melayu/Islam yang boleh dimanfaatkan.
Cik Rahayu turut memberi jaminan bahawa apa yang dinyatakan PAP pasti diusahakan.
Kini, Cik Rahayu terlibat dalam Sayap Wanita PAP dan Kumplan Warga Emas PAP (PAP.SG) di mana perkara berkaitan wanita dan warga emas diusahakan.
“Ini menunjukkan usaha berterusan dalam mendengar rintihan masyarakat mengenai isu yang menjadi kerisauan mereka – tentang pekerjaan, penuaan, keadaan keluarga dan sebagainya.
“Ini adalah janji kami bahawa walau dunia semakin mencabar, ada kalanya keadaan sukar, kami akan sentiasa bersama rakyat dan memastikan terdapat sokongan yang diberikan,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg