Satu alat kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan orang ramai membaca kadar denyutan jantung dan tekanan darah mereka, hanya dengan menggunakan kamera telefon bimbit, akan dicuba oleh sekumpulan pesakit di poliklinik dalam beberapa bulan akan datang.
DeepHealthVision, yang dibangunkan oleh syarikat kesihatan digital Korea Selatan, injewelme, akan menjalani percubaan di sini dengan kerjasama Poliklinik SingHealth (SHP).
Dengan menganalisis rakaman video wajah pengguna selama 30 saat, alat tersebut dapat mengesan kadar pengaliran darah pada bahagian muka tertentu seperti dahi, pipi dan hidung.
Ia menghasilkan bacaan kadar denyutan jantung dan tekanan darah yang tepat – tanpa perlu menggunakan alat perubatan luaran seperti pemantau tekanan darah dan oksimeter.
“Sebagai contoh, seseorang yang mengalami tekanan darah atau denyutan jantung tinggi biasanya mengalami kemerahan pada kulit,” kata Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan di injewelme, Encik Nathan Cheong pada 20 Jun, semasa Persidangan Penyelidikan Penjagaan Utama Asia Pasifik ke-10.
Persidangan tersebut diadakan di Academia, Kampus Hospital Besar Singapura (SGH).
Ketepatan bacaan tidak terjejas oleh warna kulit pengguna, tambahnya.
Selain telefon bimbit, pesakit juga boleh menggunakan kamera pada peranti lain seperti komputer riba dan tablet.
Pengarah Penyelidikan dan Institut Penyelidikan Penjagaan Utama (PCRI) di SHP, Profesor Madya Klinikal Tan Ngiap Chuan, berkata bahawa alat canggih tersebut akan menjadikan tugas memantau kesihatan lebih mudah diakses dan lebih selesa untuk pengguna, kerana ia tidak memerlukan peranti perubatan yang mahal, dan lawatan kerap ke klinik.
Pemantau tekanan darah digital berharga sekitar $50 hingga $300 di pasaran, lapor The Straits Times (ST).
“Sistem ini juga memudahkan tugas memantau kesihatan dari jarak jauh secara berterusan, membolehkan karyawan penjagaan kesihatan mengesan masalah kesihatan sebelum ia menjadi serius.
“Ia juga membolehkan usaha campur tangan dari awal lagi, dan mungkin dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital,” kata Profesor Tan.
Encik Cheong pula berkata terdapat rancangan untuk menyepadukan model ramalan AI injewelme, DeepHealthNet, ke dalam DeepHealthVision.
Ini akan membolehkan karyawan penjagaan kesihatan mengakses tanda-tanda vital pesakit, supaya mereka dapat membuat keputusan klinikal yang lebih tepat, dan tidak hanya bergantung pada maklumat terhad yang diperoleh semasa berjumpa doktor.
Lebih 100,000 orang di Korea Selatan telah mencuba DeepHealthVision, manakala sekitar 30 karyawan penjagaan kesihatan di Singapura berpeluang mencubanya semasa satu demonstrasi langsung baru-baru ini.
Semasa demonstrasi tersebut di sini, ketepatan bacaan kadar denyutan jantung dan tekanan darah melalui alat DeepHealthVision adalah sekitar 96 peratus, berbanding bacaan yang diambil menggunakan pemantau tekanan darah berjenama Omron atau jam tangan pintar Samsung Galaxy, kata Encik Cheong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg