Alat digital percuma yang memudahkan rakyat Singapura melengkapkan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP) mereka secara dalam talian telah dilancarkan pada 19 Julai.
Dikenali sebagai myACP, alat itu membolehkan pengguna merakam pilihan mereka bagi rawatan perubatan terlebih dahulu, selaras dengan matlamat dan nilai peribadi mereka.
Mereka juga boleh menetapkan seseorang untuk membuat keputusan penjagaan kesihatan bagi pihak mereka jika mereka hilang upaya dari segi mental.
Alat digital itu dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) , Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan GovTech di Heartbeat@Bedok.
Berucap di majlis pelancaran itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata dengan alat itu, orang ramai tidak perlu bertemu dengan fasilitator ACP secara peribadi.
Mereka yang sihat dan berusia sekurang-kurangnya 21 tahun boleh merakam pilihan penjagaan mereka secara dalam talian.
Encik Ong berkata antara sebab sesetengah orang tidak melengkapkan ACP termasuk kurang pengetahuan tentang prosesnya dan kesulitan membuat janji temu dengan fasilitator, langkah yang memakan masa dan mungkin juga melibatkan bayaran.
Sebelum ini, individu perlu mengunjungi hospital awam, poliklinik atau penyedia penjagaan sosial tertentu untuk membuat perancangan sedemikian.
Kini, mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan alat digital itu menerusi platform My Legacy@LifeSG di https://mylegacy.life.gov.sg/.
Tambahnya, ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyiapkan ACP.
Pengguna perlu menyatakan pilihan mereka tentang keperluan kebersihan, peneman dan agama, serta membuat keputusan sama ada doktor harus mengutamakan keselesaan atau menjalankan rawatan.
Namun, mereka yang mempunyai penyakit seperti barah atau masalah jantung masih perlu melengkapkan ACP mereka dengan bantuan pasukan penjagaan kesihatan mereka atau fasilitator bertauliah.
Sekitar 77,000 orang telah melengkapkan ACP mereka sejauh ini, kata Encik Ong.
“Jumlah ini adalah 40 peratus lebih tinggi berbanding perangkaan tahun lepas (2024), tetapi jumlahnya masih sangat kecil,” katanya sambil menyatakan bahawa pihak berkuasa sedang berusaha menggalak lebih ramai rakyat Singapura merancang lebih awal.
Walaupun sesetengah orang mempunyai pilihan bagi penjagaan akhir hayat mereka, kebanyakannya enggan membincangkan perkara itu dengan orang tersayang semasa mereka sihat kerana ia dianggap satu pantang larang, ujarnya.
“Ia mungkin terlambat untuk berbuat demikian apabila sudah jatuh sakit dan tidak dapat menyampaikan apa yang mereka mahukan kepada orang yang mereka sayang
“Anggota keluarga dan doktor kemudian akan berada dalam kedudukan yang sukar untuk membuat keputusan mengenai pendekatan penjagaan,” kata Encik Ong.
Pada 2023, pemerintah melancarkan Strategi Nasional bagi Penjagaan Paliatif untuk meningkatkan kesedaran tentang isu akhir hayat.
Sejak itu, keupayaan penjagaan paliatif di Singapura telah dikembangkan, meningkat kepada 3,000 tempat penjagaan di rumah dan 300 katil hospis ketika ini, daripada 2,400 tempat jagaan di rumah dan 260 katil hospis pada 2023, menurut Encik Ong.
Kemahiran penjagaan paliatif juga diperkukuh, dengan 62 – atau kira-kira dua pertiga – rumah jagaan di Singapura mempunyai kerjasama dengan hospital.
Ini bermakna apabila penghuni rumah jagaan menghampiri penghujung hayatnya, beliau akan kekal di kemudahan itu dan tidak dipindahkan ke hospital jika tidak perlu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg