Perbualan tentang kematian dan aspek bersangkutan dengannya harus dibuat pada peringkat awal kehidupan kerana ia merupakan titik permulaan penting ke arah penjagaan paliatif yang bermakna.
Ini sedang permintaan terhadap penjagaan paliatif dijangka meningkat saban tahun dengan bertambahnya penduduk yang semakin menua di Singapura.
Demikian antara kebimbangan utama yang diutarakan peserta dalam edisi ketiga Forum Pemimpin 2025, anjuran Majlis Hospis Singapura (SHC), di The Pod @ Perpustakaan Negara pada 2 Julai.
Ini kali pertama SHC mengadakan forum itu khusus bagi pemimpin Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) untuk memahami kebimbangan sesebuah masyarakat dan mengatasi tanggapan tidak tepat mengenai penjagaan paliatif.
Forum tersebut dihadiri 23 wakil pelbagai MMO termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Mendaki.
Menurut SHC, forum itu diadakan berlatarbelakangkan penduduk di sini yang kian berusia, dengan seperlima penduduk Singapura dijangka mencapai usia 60 tahun dan ke atas pada 2026.
Antara topik yang sering diketengahkan peserta adalah berkenaan perlunya perbualan awal mengenai perihal kematian.
Para peserta rata-rata akur sungguhpun topik ini tidak begitu selesa untuk dibincangkan, ia sebenarnya mendorong pesakit dan penjaga memahami jangkaan satu sama lain, sekali gus memacu persefahaman antara kededua pihak.
Ini memandangkan penjagaan paliatif, bertujuan meringankan kesengsaraan pesakit yang menghidap penyakit serius atau mengancam nyawa, merangkumi pelbagai aspek termasuk kematian.
Perkara ini dikongsi Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, yang menyatakan dalam Islam, kematian itu harus dinilai secara berkala.
Ketika ditemui selepas acara itu, beliau berkata: “Dengan mengadakan perbualan ini pada peringkat lebih awal dalam kehidupan, ia membolehkan individu dan keluarga membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diperolehi mengenai penjagaan paliatif, keinginan semasa jangka hayat akhir dan keperluan rohani.
“Ia juga mengurangkan bebanan emosi kepada penjaga, yang sering bergelut dengan ketidakpastian atau jangkaan yang tidak diutarakan apabila detik kematian semakin hampir.”
Selain perlunya mengadakan perbualan bersangkutan kematian, para peserta juga akur kepentingan meluaskan kerjasama silang pertubuhan kerana menyedari adanya keperluan terhadap penjagaan paliatif dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Secara kolektif, usahasama silang pertubuhan ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan saluran yang ada bagi penjagaan paliatif, memperbetulkan sebarang salah tanggapan mengenai penjagaan paliatif, di samping menggembleng sumber sedia ada pada pertubuhan sedemikian.
Moderator forum, Dr Norhisham Main, berkata inti pati utama hasil daripada forum itu adalah badan-badan Melayu/Islam “berkongsi gambaran sama” mengenai keperluan unsur-unsur penjagaan paliatif dalam masyarakat.
Beliau, yang juga anggota Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), dan Konsultan Kanan dalam Geriatrik dan Perubatan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), berkata:
“Ruang kini telah tersedia bagi menghubungkan badan-badan ini… (jadi) saya berharap badan-badan ini dapat bekerjasama untuk membina visi dan hala tuju bagi mencapai visi ini.
“Sama ada dari detik seseorang dilahirkan hingga jangka hayat terakhirnya, visi dan hala tuju ini haruslah sesuatu yang dapat berdaya tahan bagi masa hadapan.”
Sentimen ini turut dikongsi Pengarah Eksekutif SHC, Cik Sim Bee Hia, yang menyambut baik inisiatif yang sudah dilakukan beberapa MMO secara berasingan sejauh ini terhadap usaha penjagaan paliatif.
Cik Sim berkata: “Tetapi masanya kini adalah bagaimana untuk menghubungkan usaha-usaha ini dalam satu gerakan yang padu bagi setiap pertubuhan.
“Kami sedia maklum setiap pertubuhan mempunyai sumber yang terhad. Oleh itu apabila badan-badan bersatu dan memanfaatkan kekuatan satu sama lain, di situlah terletaknya kesinambungan menyeluruh.”
Sementera itu, forum tersebut turut menyaksikan pelancaran episod pertama podcast SHC Live Well. Leave Well dalam Bahasa Melayu.
Siri podcast tersebut, yang telah memasuki siri kedua, mengetengahkan topik-topik bersangkutan penjagaan paliatif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg