Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pemerintah akan terus sokong keluarga di setiap peringkat kehidupan

Pertubuhan, agensi digesa tampil jadi rakan kongsi pemerintah, lebih banyak rancangan akan dikongsi di masa depan
Jul 13, 2025 | 6:43 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong bergambar bersama para peserta Hari Keluarga Yayasan Masyarakat PAP (PCF) yang diadakan pada 13 Julai di Singapore Expo.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong bergambar bersama para peserta Hari Keluarga Yayasan Masyarakat PAP (PCF) yang diadakan pada 13 Julai di Singapore Expo. - Foto ST

Pemerintah akan terus menyokong keluarga di Singapura pada setiap peringkat kehidupan terutama sedang mereka berdepan dengan cabaran masyarakat yang kian menua, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Inisiatif terbaru termasuk sokongan kewangan dan cuti ibu bapa untuk ibu bapa muda yang baru mendapat anak, serta lebih banyak bantuan untuk keluarga besar yang mempunyai tiga anak atau lebih.

“Namun kini, sokongan keluarga bukan hanya untuk ibu bapa muda, kerana masyarakat kita semakin menua,” kata Encik Wong.

Dengan penduduknya yang semakin tua, menyediakan sokongan keluarga juga perlu melibatkan warga emas dan penjaga mereka, tambah beliau.

Pihak berkuasa telah memulakan kerja-kerja ini melalui inisiatif nasional seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG, yang bertujuan memastikan warga emas tetap aktif dan sihat selama yang mungkin, katanya.

Mereka juga sedang mempertingkatkan perkhidmatan penjagaan, seperti di kemudahan kediaman jangka panjang dan di kawasan masyarakat, kata Encik Wong.

“Banyak kerja ini baru sahaja dimulakan. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan, dan kami akan berkongsi lebih banyak perancangan kami apabila kami bersedia,” kata Encik Wong.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian semasa acara Hari Keluarga Yayasan Kanak-Kanak PAP (PCF) yang diadakan di Singapore Expo pada 13 Julai.

Encik Wong berkata PCF telah mempertingkatkan penjagaan warga emas, selaras dengan usaha pemerintah menambah sokongan kepada golongan ini dan bekerjasama dengan pertubuhan.

Menambah, Encik Wong berkata PCF sudah mula mengembangkan kapasiti untuk memberi khidmat kepada lebih ramai warga emas. 

Sebelum ini, satu laporan menyatakan PCF akan memiliki 25 pusat penjagaan warga emas, pusat penjagaan senior dan pusat penuaan aktif menjelang 2027.

Buat masa ini, lebih 10,000 warga emas meraih manfaat daripada 13 pusat sedia ada.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata PCF boleh memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara generasi kerana ia juga mengendalikan banyak tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak. 

Dengan penambahan pusat penjagaan warga emas, PCF akan dapat menghubungkan antara generasi, tambah beliau.

Tema acara Hari Keluarga PCF pada 13 Julai adalah “Menghubungkan Generasi, Menginspirasi Masa Depan”.

Encik Wong berkata pemerintah memerlukan rakan kongsi, seperti pertubuhan sosial dan agensi seperti PCF untuk turut memainkan peranan mereka.

PCF adalah pertubuhan kebajikan yang ditubuhkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang dipimpin oleh Encik Wong sebagai Setiausaha Agung.

Dalam pada itu, Encik Wong juga berkata PCF mengumpul dana untuk menyokong pelbagai tujuan di dalam masyarakat.

Yayasan tersebut menyumbang $60,000 kepada enam pertubuhan amal yang merangkumi warga emas, kanak-kanak, keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, dan mereka yang memerlukan sokongan kesihatan mental.

Pertubuhan ini termasuk Blossom Seeds, Bright Hill Evergreen Home, The Salvation Army Gracehaven, Food from the Heart, HCSA-SPIN dan Kelab Heal. Setiap satu menerima $10,000.

“Keluarga telah menjadi teras perjalanan pembinaan negara kita sejak awal lagi,” kata Encik Wong.

Melangkah ke hadapan, Singapura akan memulakan fasa seterusnya dalam pembinaan negara selepas SG60, tambah beliau.

“Dalam fasa baru ini, kita akan berdepan dengan cabaran yang lebih kompleks. Namun, saya yakin kita mampu menghadapinya dan menjadi lebih kuat bersama-sama.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg