Alat pembersih udara dalam bilik darjah bagi sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (MOE) dihidupkan, dengan pintu dan jendela kelas ditutup apabila tahap jerebu meningkat di Singapura.

Pintu dan tingkap sedemikian akan dibuka secara berkala bagi mengekalkan keseimbangan mutu udara, suhu dan tahap karbon dioksida, kata Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.

Beliau menambah bahawa apabila bacaan indeks zarah pencemar halus di udara atau PM2.5 bagi setiap jam mencapai tahap tinggi, iaitu lingkungan 151 hingga 250, sekolah masih boleh terus beroperasi secara selamat.

Namun, langkah-langkah sewajarnya akan dilaksanakan termasuk mengelakkan kegiatan di luar dan kegiatan fizikal di ruang dalaman, manakala para pelajar akan berada di ruang tertutup yang dilengkapi alat pembersih udara.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh Encik Kenneth Tiong (GRC Sengkang), Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris-Changi), Cik Diana Pang (GRC Marine Parade-Braddell), Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Terence Ho dalam sidang Parlimen pada 3 November.

Mereka antara lain mengemukakan soalan dan kebimbangan berkenaan piawaian prasarana di sekolah dan rancangan yang akan dilaksanakan oleh MOE jika tahap jerebu di sini mencatatkan peningkatan.

Dr Janil berkata: “Apabila bacaan PM2.5 setiap jam berada di tahap meningkat iaitu 56 hingga 150, pihak sekolah akan mengaktifkan alat pembersih udara di dalam bilik darjah dan menutup pintu dan tingkap.

“Bagi meningkatkan pengaliran udara dan keselesaan terma (thermal comfort), pihak sekolah boleh membuka semula pintu dan tingkap secara berkala dan pada masa yang sama, alat pembersih udara terus menapis udara di dalam bilik darjah itu.

“Sebagai contoh, (pintu dan tingkap boleh dibuka) ketika tempoh peralihan antara sesi pembelajaran, semasa waktu rehat, atau apabila bacaan PM2.5 bertambah baik.”

Menurut beliau, MOE akan mempertimbangkan untuk menutup sekolah dan beralih ke sesi pembelajaran dari rumah (HBL) bagi pelajar peringkat prasekolah hingga sekolah menengah jika ramalan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam bagi hari berikutnya mencapai tahap bahaya atau melebihi paras 300.

Ini sejajar dengan apa yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, semasa sidang media Pasukan Bertindak Jerebu pada 16 Oktober.