Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alat percuma tangani kandungan ‘deepfake’ bakal dilancar pada 2026

Nov 24, 2025 | 2:35 PM
deepfake, tangani, alat
Pasukan Pusat Teknologi Lanjutan Keselamatan Dalam Talian (Catos) termasuk (dari kiri), Ketua Kejuruteraan Sistem, Cik Therese Quieta; Pengarah Pusat, Dr Yang Yinping; Saintis Utama, Dr Soumik Mondal; dan Saintis Kanan, Dr Wang Yunlong. - Foto ST

Satu alat dalam talian percuma akan dilancarkan pada 2026 untuk membantu pengguna membezakan antara kandungan asli dengan kandungan yang telah diubah suai melalui pemeriksaan metadata atau maklumat kandungan, yang berfungsi seperti label pemakanan pada produk makanan.

Alat tersebut, Provo, direka untuk digunakan oleh semua pengguna termasuk penerbit berita dan pencipta kandungan bagi menandakan imej dan video dengan label khusus.

Label itu boleh diperiksa menggunakan sambungan pelayar Provo percuma.

Provo merupakan antara alat pertama yang diperkenalkan oleh Pusat Teknologi Lanjutan Keselamatan Dalam Talian (Catos), yang ditubuhkan pada 2024 untuk memperkukuh keupayaan Singapura dalam mengesan kandungan ‘deepfake’ (palsu asli), serta maklumat salah dalam talian.

‘Deepfake’, atau pemalsuan mendalam adalah satu teknik pemalsuan digital yang digunakan dengan mengubah paras rupa seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli mereka melalui kaedah tindan wajah.

Ditubuhkan di bawah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), pusat tersebut akan menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah $50 juta sepanjang lima tahun di bawah Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan Singapura 2025.

Pengarah Catos, Dr Yang Yinping, berkata orang ramai tidak boleh lagi bergantung kepada penanda lama untuk mengesan kandungan palsu mendalam, lapor The Straits Times (ST).

“Petua seperti (mengesan) kelipan mata tidak semula jadi dan pergerakan mulut tidak jelas mungkin berkesan dahulu.

“Tetapi dengan peningkatan teknik kecerdasan buatan (AI) generatif, alat terbaik dunia juga tidak mampu mengesan kandungan palsu mendalam yang sangat realistik ini secara konsisten,” kata Dr Yang yang juga saintis kanan utama di Institut Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (IHPC) A*Star.

Justeru, pengesahan sumber kandungan menggunakan alat seperti Provo merupakan pelengkap penting kepada pembangunan berterusan teknologi pengesanan kandungan palsu mendalam, yang disifatkan oleh Dr Yang sebagai “tiada penghujungnya”.

Label yang ditandakan dalam foto dan video dalam talian boleh diperiksa oleh pengguna Internet, tidak kira di wadah mana kandungan itu dikongsi atau disiar semula.

Label tersebut mengandungi maklumat kandungan seperti penerbit asal, tarikh kandungan disiarkan buat kali pertama, serta sebarang suntingan yang dibuat sebelum kandungan itu dimuat naik.

Sekiranya sesebuah foto atau video telah diubah suai oleh pihak yang tidak dibenarkan, label yang menandakan keasliannya akan dipadam secara automatik.

Pembangunan Provo bermula selepas Catos dan syarikat gergasi perisian Amerika, Adobe, menandatangani perjanjian pada 2024 untuk melaksanakan teknologi mengenal pasti keaslian kandungan di Singapura.

Maklumat lanjut mengenai pelancarannya dijangka diumumkan pada Mei 2026, ujar Ketua Kejuruteraan Sistem di Catos, Cik Therese Quieta.

“Kami melihat (Provo) sebagai harapan bahawa bersama teknologi pengesanan kandungan palsu mendalam, alat ini dapat menyumbang kepada usaha mengekalkan keaslian maklumat di Internet,” tambah Dr Yang.

Meskipun teknologi keaslian kandungan di rantau ini masih berada pada tahap permulaan, Dr Yang berkata ia berpotensi memainkan peranan penting dalam cara maklumat digital dipaparkan pada masa depan.

Memandangkan kepercayaan menjadi teras operasi Provo, pasukan itu sedang merangka proses pengesahan identiti bagi mencegah kemungkinan penyamaran sebagai organisasi tertentu atau individu lain ketika menggunakan platform itu, kata Cik Quieta.

Beliau menambah bahawa pasukan mungkin menimbangkan penyepaduan pengesahan Singpass, yang membolehkan wadah mengesahkan pengguna berdasarkan rekod pemerintah.

Bagi mewujudkan ekosistem kepercayaan yang kukuh, pasukan di Catos juga sedang mengadakan perbincangan dengan pencipta kandungan dan penerbit terkemuka untuk menggunakan Provo.

Catos turut melancarkan platform pengesanan kandungan palsu mendalam, dinamakan Sleuth, yang telah mula digunakan oleh kakitangan beberapa agensi awam dan syarikat media untuk mengesan kandungan yang diubah suai.

Pasukan yang merangkumi 50 saintis dan jurutera di Catos sedang berusaha ke arah membolehkan Sleuth digunakan oleh orang ramai pada masa akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg