Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal dibentuk akan mengubah pendekatannya dalam talian dan cara mendengar suara rakyat.
Ini bertujuan untuk mempertingkatkan cara parti itu berhubungan dan mendekati masyarakat, khususnya dalam melibatkan lebih ramai belia, kata Pengerusi Penganjur Majlis Anugerah dan Persidangan PAP, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam.
Menurut beliau, walaupun parti itu akan memilih jawatankuasa yang baru semasa Persidangan PAP pada 24 November, tidak akan ada banyak perubahan drastik dalam cara parti itu mendekati dan berkhidmat kepada rakyat Singapura.
Bercakap kepada media semasa Majlis Jamuan Makan Malam dan Anugerah Ulang Tahun ke-70 PAP pada 23 November di Singapore Expo, Encik Yam berkata PAP telah memutuskan untuk mengguna pendekatan berbeza dalam menganjur majlis anugerah dan makan malam serta konvensyen pada 2024.
Pada tahun-tahun sebelum ini, majlis anugerah serta persidangan PAP diadakan pada hari yang sama. Namun, pada tahun ini (2024), jamuan makan malam dan majlis anugerah diadakan pada 23 November manakala persidangan dwitahunan PAP diadakan pada hari kemudian.
“Kami menyuntik lebih banyak penglibatan belia ke dalam program tahun ini (2024). Kami juga membenarkan fleksibiliti dan kreativiti yang lebih besar dari segi cara kami menguruskan peringkat kami juga.
“Tahun ini kami memutuskan untuk menggunakan satu siri poskad untuk memperingati 70 detik penting dalam sejarah kami.
“Selain itu, kami juga menggalak cawangan-cawangan untuk mengadakan perayaan unik mereka sendiri dan sekali lagi mendedikasikan diri mereka untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura,” kata Encik Yam, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee.
Ketika ditanya Berita Harian (BH) tentang bagaimana parti itu terus melibatkan golongan belia semakin ia berkembang dan memperbaharui kepimpinannya, Encik Yam berkata PAP telah mendekati pelbagai ahli, termasuk golongan belia, untuk menyertai parti.
“Ia satu proses yang berterusan. Ahli muda masih tampil ke hadapan.
“Mereka menyertai parti dan kami teruja untuk dapat memanfaatkan pandangan dan tenaga serta semangat mereka supaya kami boleh membawa parti ke hadapan dan membawa idea baru juga,” kata Encik Yam.
Semasa majlis itu, Pengerusi PAP yang juga Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berkata parti itu mesti terus mewakili semua rakyat Singapura walaupun ia mengeratkan hubungannya dengan generasi baru pengundi.
Beliau juga berkata ketika negara menghadapi persekitaran luar yang lebih mencabar, parti itu mesti terus bekerja keras, bekerja dengan bijak, dan menyahut cabaran yang mendatang.
Menyahut seruan itu, Encik Yam berkata ia adalah sesuatu yang telah dilakukan parti berkenaan sejak pelancaran latihan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Together.
“Kami telah mengadakan pelbagai perbincangan dan jika anda melihat kembali sejarah kami, pada saat-saat penting, kami mempunyai peluang bagi ahli parti berkumpul untuk membincangkan bagaimana mereka melihat parti itu terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan cara yang terbaik.
“Jadi saya rasa malam ini adalah satu panggilan perhimpunan sekali lagi kepada semua ahli parti kami untuk meneruskan perkhidmatan berdedikasi mereka kepada penduduk, pengundi dan rakyat di Singapura,” kata Encik Yam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg