Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan berucap di persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 24 November.
Ditanya tentang persidangan parti tersebut semasa wawancara bersama media Singapura menyusuli Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janeiro, Brazil, Encik Wong berkata beliau perlu menyiapkan ucapannya bagi acara itu.
Persidangan dwitahunan itu adalah acara di mana para kader parti itu berkumpul untuk memilih badan pembuat keputusan tertingginya, iaitu Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Jawatankuasa tersebut menapis calon berpotensi menjelang setiap pilihan raya umum dan memutuskan siapakah Anggota Parlimen (AP) yang akan bersara.
Setiausaha Agung PAP semasa ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Persoalannya adalah sama ada Encik Wong akan mengambil alih jawatan itu selepas pemilihan bagi CEC pada 24 November.
Encik Wong juga menambah bahawa banyak kerja telah dimulakan untuk Belanjawan 2025.
Beliau sebelum ini telah menggariskan empat tema luas untuk Belanjawan 2025 – strategi ekonomi untuk sempadan seterusnya; peluang bagi peningkatan kemahiran dan pekerjaan untuk pekerja; sokongan untuk rakyat Singapura merentasi tahap kehidupan yang berbeza; dan mengukuhkan semangat perpaduan rakyat Singapura sedang negara ini menyambut ulang tahunnya yang ke-60, atau SG60.
“Kami akan mula meningkatkan usaha sedang tarikh Belanjawan semakin hampir,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg