Seorang rakan sekerja yang luar biasa dari segi pemikiran selain hati yang murni, serta jiwa untuk sentiasa bekerja keras.
Itulah yang dikongsi oleh rakan sekerjanya tentang sikap dan pekerti Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd, 66 tahun, yang meninggal dunia pada 24 Jun.
Semasa berucap di Masjid Ba’alwie selepas solat jenazah, Duta (Tidak Bermastautin) ke Kuwait, Encik Zainul Abidin Rasheed itu berkata:
“Almarhum adalah contoh wartawan yang baik. Kerana kelebihan inilah, para pemimpin Singapura masa itu mengenal pastinya dengan lebih dekat.”
Berkongsi pengalamannya semasa ditemui Berita Harian di Masjid Ba’alwie, mantan editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Yatiman Yusof, menganggap mantan penolong editor akhbar itu sebagai seorang yang berdedikasi.
“Allahyarham merupakan wartawan yang teguh dan komited dalam membuat kewartawanan penyiasatan. Saya kehilangan seorang sahabat yang cekal, penuh komitmen terhadap tugas dan sentiasa memikirkan masalah masyarakat kita.”
“Ada ketikanya, Allahyarham akan bertindak serius apabila isu-isu yang disiapkan untuk dilaporkan tadi itu merupakan isu yang berat dan Allahyarham selalu berkongsi maklumat dengan wartawan lain,” kata Encik Yatiman.
Di luar bilik berita, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang suka menghiburkan hati orang-orang di sekelilingnya.
“Secara peribadi, beliau seorang yang penyabar, suka menolong rakan-rakan yang menghadapi masalah kerja dan sebagainya. Beliau juga seorang yang suka bergurau apabila ada waktu senggang,” dedah Encik Yatiman lagi.
Kali terakhir mereka bertemu ialah tiga minggu lalu di Masjid Ba’alwie.
Menurut Encik Yatiman, pemergian Allahyarham sememangnya mengejutkan kerana beliau sebelumnya kelihatan sihat dan ceria seperti biasa. Apatah lagi pertemuan dalam lanjut usia, mereka selalunya berkongsi tentang keadaan kesihatan masing-masing.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Jun, 6.50 petang dan dikebumikan di Pusara Aman selepas zuhur pada 25 Jun.
Beliau meninggalkan seorang balu, Cik Rahimah Asmore dan lima anak.
Mantan timbalan editor BH, Encik Zulkifli Rahmat, mengingati Allahyarham sebagai rakan sekerja yang senang untuk bekerja bersama, seorang yang merendah diri dan tekun dalam melakukan tugas kewartawanannya.
“Meskipun saya tidak bekerja dengan beliau secara langsung, beliau adalah seorang yang senang untuk bekerjasama. Saya tidak pernah melihat beliau meninggikan suara kepada kakitangan lain dan yang seumpama dengannya,” sebut Encik Zulkifli.
Aspek kemesraan dalam pekerjaan itu diterangkan lagi oleh Encik Zulkifli apabila Allahyarham memilih beliau sebagai juruvideo untuk menyambut hari istimewa beliau.
“Untuk majlis perkahwinan Allahyarham, beliau melantik saya untuk menjadi juruvideonya. Saya tidak pasti dengan tarikh majlisnya tapi sayalah yang menyunting video majlis perkahwinannya,” kata Encik Zulkifli.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg