Sumbangan dan usaha perintis Allahyarham Encik Mohamad Maidin Packer Mohd telah memastikan Geylang Serai kekal sebagai hab yang berkembang maju bagi masyarakat Melayu Islam Singapura dan ia amat dihargai.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam catatannya di Facebook pada 25 Jun bagi memperingati jasa Allahyarham Encik Maidin yang telah menghembus nafas terakhirnya pada 24 Jun.
“Ramai dalam masyarakat Melayu/Islam mengenali Encik Maidin. Hubungan mendalam beliau dengan masyarakat bermula sejak beliau menjadi Penolong Editor Berita Harian dan Berita Minggu dan berterusan selepas beliau menyertai politik.
“Beliau menerajui Bulan Bahasa pada 1990-an dan memainkan peranan penting dalam pembaharuan Geylang Serai.
“Usaha perintis beliau memastikan Geylang Serai kekal sebagai hab yang berkembang maju bagi masyarakat Melayu/Islam, dan juga meletakkan asas bagi rancangan kami untuk Jalur Budaya Geylang Serai yang akan datang,” kata Encik Wong.
Allahyarham Maidin pernah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari 1991 hingga 2006, mewakili Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Aljunied dari 1991 hingga 1996 dan GRC Marine Parade dari 1997 hingga 2006.
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan politik seperti Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan) pada 2001, Ehwal Dalam Negeri dari 2001 hingga 2006 dan Sekitaran dari 2003 hingga 2004.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bulan Bahasa bagi empat penggal pada tahun 1990-an dan pernah mempengerusikan Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC).
Pada 25 Jun, Encik Wong telah melawat keluarga Allahyarham Encik Maidin di Blok 333 Tampines Street 33 bagi memberikan penghormatan terakhirnya sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Ba’alwie untuk disembahyangkan.
Antara yang turut hadir di rumah beliau juga termasuk Menteri Kanan Encik Teo Chee Hean dan AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
Di Masjid Ba’alwie, beberapa AP dan mantan AP turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir dan menyembahyangkan jenazah.
Ini termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; serta beberapa mantan AP seperti Encik Yatiman Yusof, Encik Sidek Saniff, Encik Othman Haron Eusofe, Encik Ibrahim Othman dan Encik Zainul Abidin Rasheed.
“
“Ramai dalam masyarakat Melayu/Islam mengenali Encik Maidin. Hubungan mendalam beliau dengan masyarakat bermula sejak beliau menjadi Penolong Editor Berita Harian dan Berita Minggu dan berterusan selepas beliau menyertai politik.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg