Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keputusan pinda Akta Insurans bagi henti perjanjian Allianz-Income dibuat PM bersama Kabinet

Shanmugam jelaskan perkara lepas mantan ketua eksekutif NTUC Income kata beliau beri maklum balas tentang perjanjian melalui menteri
Nov 6, 2024 | 7:00 PM
Pemerintah Singapura mengumumkan pada Oktober bahawa perjanjian antara syarikat insurans Jerman, Allianz, dengan Income Insurance dalam bentuk semasanya telah dibatalkan.
Pemerintah Singapura mengumumkan pada Oktober bahawa perjanjian antara syarikat insurans Jerman, Allianz, dengan Income Insurance dalam bentuk semasanya telah dibatalkan. - Foto Lianhe Zaobao
View post on Instagram
 

Keputusan muktamad meminda Akta Insurans – yang akan menghalang bentuk semasa perjanjian Allianz-Income diteruskan – dibuat oleh Perdana Menteri Lawrence Wong sendiri, bersama Kabinet.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, menjelaskan perkara ini dalam satu catatan Facebook pada 6 November selepas mantan ketua eksekutif NTUC Income, Encik Tan Suee Chieh, berkata beliau telah menyampaikan maklum balasnya mengenai cadangan perjanjian itu melalui Encik Shanmugam, lapor The Straits Times.

Pemerintah mengumumkan di Parlimen pada Oktober bahawa perjanjian antara syarikat insurans Jerman, Allianz, dan NTUC Income dalam bentuk semasanya telah dibatalkan kerana kebimbangan mengenai struktur perjanjian itu dan keupayaan Income meneruskan misi masyarakatnya.

Ia kemudian membuat pindaan kepada Akta Insurans untuk membolehkan kelulusan perjanjian itu ditahan.

Ini membuka jalan kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mempertimbangkan pandangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam sembarang permohonan masa depan berkaitan syarikat insurans yang merupakan koperasi atau yang berkaitan dengan koperasi.

Dalam catatan Facebook 6 November, Encik Tan berkata apabila urus niaga itu mula diketahui umum pada Julai, beliau berusaha menghubungi MAS dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), tetapi tidak mendapat respon.

Beliau secara terbuka mengkritik perjanjian itu di media sosial sejak ia pertama kali diumumkan.

Menjelang pertengahan Ogos, beliau mula menghubungi beberapa pegawai kanan pemerintah yang beliau kenal secara peribadi melalui kerjayanya, kata Encik Tan.

Encik Shanmugam berkhidmat sebagai peguam korporat Prudential Singapore ketika Encik Tan menjadi ketua eksekutif syarikat itu.

Encik Shanmugam berhubungan dengan beliau beberapa kali dalam dua bulan, membolehkan beliau menjelaskan pandangannya, kata Encik Tan.

Encik Tan menambah bahawa beliau berasa Encik Shanmugam “memainkan peranan penting dalam perbincangan dalaman yang akhirnya membawa kepada penghentian perjanjian itu”.

Pada 6 November, Encik Shanmugam berkata Encik Tan mungkin terlalu memandang tinggi peranan dan pengaruhnya.

“Perjanjian itu, dan pandangan (Encik Tan) mengenai perjanjian itu, tidak termasuk dalam bidang kuasa saya. Saya penyalur, menghantar pandangannya kepada menteri berkaitan,” ujarnya.

Encik Shanmugam menambah bahawa beliau memberitahu Encik Tan pemerintah mempunyai pandangan berbeza mengenai kebanyakan perkara yang beliau utarakan walaupun ia sampai kepada keputusan yang sama.

Encik Shanmugam juga menjelaskan dua tanggapan salah berkaitan penghentian perjanjian itu yang beliau perhatikan daripada perbincangan lebih meluas.

Pertama, ada yang berkata pemerintah berhasrat meneruskan perjanjian itu, dan menukar pandangannya hanya apabila terdapat maklum balas orang ramai.

Encik Shanmugam berkata mereka yang mempunyai pandangan ini menganggap MCCY mengetahui tentang perjanjian itu dari awal, tetapi ia tidak begitu.

Kedua, ada mengatakan pemerintah tidak selaras kerana MCCY tidak tahu apa yang MAS tahu mengenai perjanjian itu.

Encik Shanmugam berkata adalah tidak praktikal untuk pemerintah secara keseluruhan mengetahui segala-galanya mengenai perjanjian itu apabila ia diumumkan pada Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg