Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Allianz beri perlindungan insurans bagi bas tanpa pemandu

Aug 13, 2025 | 7:14 PM
Allianz, rws, bas tanpa pemandu
Khidmat perlindungan insurans bagi bas tanpa pemandu menandakan satu perkembangan penting dalam bidang yang masih baru bagi sektor insurans. - Foto ST

Cabang tempatan syarikat insurans Jerman, Allianz, telah menceburi bidang kenderaan autonomi (AV) dengan menyediakan perlindungan insurans bagi bas tanpa pemandu sepenuhnya, kendalian syarikat WeRide di pusat peranginan bersepadu Resorts World Sentosa (RWS).

Khidmat bas tanpa pemandu sepenuhnya kendalian WeRide, yang beribu pejabat di Guangzhou, China, adalah yang pertama seumpamanya di Singapura.

Menurut Allianz Insurance Singapore, polisi insurans tersebut, yang pertama bagi syarikat insurans itu, melindungi kerosakan pada bas tanpa pemandu, termasuk kamera dan sensor kenderaannya.

Polisi tersebut turut meliputi sebarang pampasan yang mungkin perlu dibayar WeRide bagi kerosakan harta benda, kecederaan tubuh badan, atau kematian yang disebabkan oleh bas tanpa pemandu tersebut, yang lazimnya digelar ‘liabiliti pihak ketiga’.

Perkhidmatan tersebut menandakan satu perkembangan penting dalam bidang yang masih baru bagi sektor insurans.

Ia disediakan sedang pemerintah membuat persiapan untuk melancarkan khidmat bas ulang-alik awam tanpa pemandu di kawasan perumahan bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan awam.

Semua AV di Singapura mesti dilindungi insurans liabiliti pihak ketiga sebelum ia boleh digunakan atau diuji di jalan raya di sini.

Ini termasuk dalam satu set peraturan trafik jalan raya yang diperkenalkan pada 2017 untuk mengawal selia percubaan AV dengan lebih baik.

Peraturan tersebut turut menetapkan kewajipan memaklumkan pihak berkuasa tentang sebarang kerosakan atau nahas yang berlaku, dan usaha merakam data penting seperti tahap kelajuan dan rakaman kamera bagi tujuan siasatan, lapor The Straits Times (ST).

Yang berbeza dalam inisiatif itu ialah Allianz Insurance Singapore kini memberi perlindungan insurans kepada perkhidmatan bas tanpa pemandu WeRide, yang diberi kebenaran oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk beroperasi tanpa kakitangan keselamatan dalam bas.

Bas tanpa pemandu dengan lapan tempat duduk itu, yang beroperasi di laluan tetap sejauh 1.2 kilometer dalam kawasan RWS, dipantau dari jauh.

Ketika ditanya sama ada operasi jarak jauh sedemikian membawa risiko lebih tinggi, Ketua Pegawai Operasi, Allianz Insurance Singapore, Cik Ong Biying, berkata perbezaannya “tidak begitu ketara” pada pandangan syarikat insurans itu.

“Ada seorang pengendali di lokasi luar yang memantau kenderaan ini dan bersedia menghentikannya dalam keadaan kecemasan… Jadi masih ada pengawasan,” katanya.

Beliau menambah bahawa masih terdapat pengawasan oleh kakitangan, tanpa mengira sama ada individu berkenaan berada dalam bas atau di tempat lain.

Cik Ong turut menjelaskan bahawa rangka kerja keselamatan yang ditetapkan LTA, bersama tempoh percubaan yang panjang sebelum pegawai keselamatan tidak lagi diperlukan dalam bas, menjadi faktor yang meyakinkan syarikat insurans tersebut untuk menaja jamin operasi tanpa pemandu WeRide.

LTA mewajibkan AV dinilai di pusat ujian sebelum ia digunakan bagi memastikan ia dapat bergerak di jalan raya dengan selamat.

Selain itu, ia turut menyemak pengurusan operasi AV di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg