Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlvin: Pelan bangun Sunset Way, Gillman Barracks belum muktamad, boleh ubah
Alvin: Pelan bangun Sunset Way, Gillman Barracks belum muktamad, boleh ubah
Pemerintah akan lanjutkan rundingan awam selepas 6 Ogos, ambil maklum balas sebelum buat keputusan
Alvin: Pelan bangun Sunset Way, Gillman Barracks belum muktamad, boleh ubah
Kawasan yang dizonkan untuk pembangunan kediaman di Sunset Way, berdekatan Hutan Maju, dan Gillman Barracks masih boleh diubah, sedang pemerintah meneruskan penglibatan selanjutnya dengan pihak berkepentingan selepas 6 Ogos.
Pandangan dan maklum balas awam akan terus diambil, sebelum pemerintah memutuskan bagaimana ia akan menjalankan pembangunan terhadap kedua-dua tapak tersebut, yang mungkin melibatkan pelarasan pada susun atur pembangunan dan jumlah kehijauan dan warisan yang perlu dipelihara.
Bercakap di Parlimen pada 4 Ogos, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan menegaskan bahawa rancangan untuk kerja pembangunan Gillman Barracks dan Sunset Way masih belum dimuktamadkan.
“Selepas tempoh rundingan rasmi ditutup pada 6 Ogos, kami akan menjalankan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan dan menyemak semula penemuan kajian dan maklum balas yang kami terima, sebelum memuktamadkan pelan pembangunan terperinci kami.
“Kami juga akan menerbitkan laporan yang meringkaskan respons agensi terhadap maklum balas tersebut, dan sebarang pindaan yang dibuat pada set pelan asal,” kata Encik Tan.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang difailkan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai pembangunan semula Hutan Maju dan Gillman Barracks.
Ini susulan perbincangan awam yang dicetuskan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang mengeluarkan pelan dan laporan alam sekitar dan warisan yang disertakan untuk kawasan tersebut pada 10 Julai.
Encik Tan berkata pemerintah menerbitkan Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) dan Penilaian Kesan Warisan (HIA) supaya orang ramai boleh mengkajinya, berkongsi pandangan mereka, dan membantu pemerintah membentuk pelan pembangunan akhir.
Beliau menyatakan bahawa walaupun rakyat Singapura menghargai warisan dan ruang hijau, mereka juga mahukan generasi akan datang mempunyai akses kepada perumahan awam yang mampu dimiliki, serta hospital, sekolah dan tempat untuk bekerja, dengan jalan raya dan pengangkutan awam untuk bergerak.
“Saya berharap kita mempunyai banyak tanah, jadi kita boleh menyediakan semua ini tanpa perlu membuat pertimbangan. Tetapi itu bukanlah realiti kita.
“Pilihan kita lebih sempit berbanding pilihan yang dihadapi oleh negara-negara yang lebih besar.
“Oleh itu, kita perlu menggunakan tanah kita yang terhad dengan sebaik mungkin.
“Itulah sebabnya kita merancang beberapa dekad ke hadapan, untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura hari ini sambil mengekalkan pilihan yang mencukupi untuk generasi akan datang,” kata Encik Tan.
Semasa sidang Parlimen pada 4 Ogos, pemerintah juga memperkenalkan beberapa pindaan kepada rang undang-undang sedia ada.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, membentangkan Rang Undang-Undang Penipuan (Langkah Tindakan Balas).
Antara lain, ia akan menjadikannya satu jenayah untuk membekal, menerima, memiliki dan memberikan maklumat peribadi bagi mewujudkan akaun di platform teknologi untuk aktiviti jenayah.
Beliau juga membentangkan satu lagi set pindaan kepada undang-undang keselamatan kebakaran bagi memudahkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengejar pembekal produk perlindungan bom yang tidak mematuhi peraturan.
Menteri Negara Kanan (Undang-undang merangkap Pengangkutan) Encik Murali Pillai, juga membentangkan undang-undang baharu yang mencadangkan untuk menurunkan ambang persetujuan yang diperlukan untuk pembangunan lama dijual secara kolektif.
Rang Undang-Undang itu mencadangkan untuk menurunkan ambang untuk jualan kolektif, juga dikenali sebagai jualan en-bloc, untuk pembangunan berumur 60 tahun atau ke atas daripada 80 peratus kepada 65 peratus pemilik.
Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pelbagai Pindaan) juga dibahaskan di Parlimen pada 4 Ogos, yang antara lain, akan menjadikannya satu kesalahan bagi pemandu yang memegang alat komunikasi mudah alih di tangannya semasa kenderaan sedang bergerak.