Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembangunan semula Hutan Maju, pemberhentian kerja GovTech tumpuan sidang Parlimen
Pembangunan semula Hutan Maju, pemberhentian kerja GovTech tumpuan sidang Parlimen
Perbincangan awam tercetus selepas HDB keluar pelan konsep bersama laporan alam sekitar, warisan berkaitan
Pembangunan semula Hutan Maju, pemberhentian kerja GovTech tumpuan sidang Parlimen
Projek pembangunan semula dan langkah pemberhentian pekerja akan menjadi agenda utama apabila Parlimen bersidang pada 4 Ogos.
Ini termasuk soalan-soalan mengenai Hutan Maju, Gillman Barracks, dan transformasi tenaga kerja di Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) yang akan menjadi tumpuan sesi berkenaan.
Sekurang-kurangnya 18 soalan telah dikemukakan berhubung perancangan pembangunan semula Hutan Maju dan Gillman Barracks.
Ini menyusuli perbincangan awam yang tercetus selepas Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengeluarkan pelan konsep bersama laporan alam sekitar dan warisan berkaitan kawasan berkenaan pada 10 Julai.
Anggota Parlimen (AP) daripada kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang akan mengutarakan beberapa soalan, termasuk mengenai keseimbangan antara keperluan perumahan dengan pemeliharaan alam sekitar, serta sama ada pelan pembangunan semula itu masih terbuka untuk perbincangan.
Di bawah pelan tersebut, kira-kira 15 hektar daripada 23 hektar Hutan Maju di Sunset Way, Clementi, diusulkan untuk pembangunan perumahan awam, manakala baki kawasan itu kekal sebagai kawasan perlindungan hidupan liar dan koridor ekologi.
Gillman Barracks, sebuah bekas tapak ketenteraan dengan bangunan bersejarah, telah diusulkan sebagai kawasan kejiranan kediaman pelbagai guna yang merangkumi perumahan awam dan privet.
Warga Singapura – terutamanya yang tinggal berhampiran kawasan terjejas – menyuarakan kebimbangan mengenai kehilangan kawasan hijau dan kesannya terhadap hidupan liar, dengan sesetengahnya menandatangani petisyen kepada AP masing-masing untuk membangkitkan isu itu di Parlimen.
Cik Rachel Ong (GRC Tanjong Pagar) yang menjaga kawasan Telok Blangah, tempat terletaknya Gillman Barracks, bertanya sama ada tapak alternatif untuk perumahan telah dinilai, dan sama ada pemerintah akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk serta kumpulan warisan dan alam semula jadi, bagi menambah baik pelan tersebut.
Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) yang menjaga kawasan Sunset Way berhampiran Hutan Maju, bertanya sama ada cadangan daripada kumpulan alam semula jadi dan pemuliharaan untuk mengekalkan kawasan hijau serta flora dan fauna boleh digunakan.
Sementara itu, AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low, menarik perhatian bahawa HDB mengumumkan pelan bagi kedua-dua kawasan itu pada hari sama sesi perundingan awam dibuka.
Justeru itu, beliau ingin tahu aspek mana, misalnya skop pembangunan dan kawasan yang akan dikekalkan, yang masih boleh diubah.
Para AP juga telah mengemukakan lapan soalan berhubung langkah pemberhentian 93 kakitangan GovTech baru-baru ini.
Agensi itu sedang membuat peralihan daripada kebergantungan kepada vendor dan ingin melakukan penyusunan semula untuk membangunkan serta mengendalikan lebih banyak produknya sendiri supaya dapat bertindak balas dengan lebih pantas kepada keperluan negara.
Langkah pemberhentian kerja yang diumumkan pada 15 Julai itu merupakan pusingan pertama seumpamanya yang akan menyaksikan kira-kira 7 hingga 9 peratus peranan terjejas dalam tempoh dua tahun akan datang.
Beberapa AP, termasuk Encik Patrick Tay (Pioneer) daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan juga Encik Louis Chua (GRC Sengkang) daripada WP, ingin mengetahui profil umur 93 pekerja yang diberhentikan itu dan sama ada mereka diberi peluang secukupnya untuk latihan semula bagi peranan lain.
AP lain mengemukakan soalan lebih luas, dengan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) bertanya sama ada langkah GovTech itu mencerminkan peralihan lebih luas dalam pengambilan pekerja teknologi sektor awam.
Dalam pada itu, Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi) bertanya sama ada terdapat bekalan bakat mencukupi untuk menyokong permintaan kian meningkat bagi pekerja yang mampu mengurus dan membangunkan produk digital.