Kawasan yang dizonkan untuk pembangunan kediaman di Sunset Way dan Gillman Barracks masih boleh diubah sedang pemerintah meneruskan penglibatan selanjutnya dengan pihak berkepentingan selepas 6 Ogos.

Pandangan dan maklum balas awam akan terus diambil sebelum pemerintah memutuskan bagaimana ia akan menjalankan pembangunan kedua-dua tapak tersebut, yang mungkin melibatkan pelarasan pada susun atur pembangunan dan jumlah kehijauan dan warisan yang perlu dipelihara.

Bercakap di Parlimen pada 4 Ogos, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan menegaskan bahawa rancangan untuk kerja pembangunan Gillman Barracks dan Sunset Way masih belum dimuktamadkan.

“Selepas tempoh rundingan rasmi ditutup pada 6 Ogos 2026, kami akan menjalankan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan dan menyemak semula penemuan kajian dan maklum balas yang kami terima sebelum memuktamadkan pelan pembangunan terperinci kami.

“Kami juga akan menerbitkan laporan yang meringkaskan respons agensi terhadap maklum balas tersebut, dan sebarang pindaan yang dibuat pada set pelan asal,” kata Encik Tan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang difailkan oleh Anggota Parlimen (AP) mengenai pembangunan semula Hutan Maju dan Gillman Barracks.

Ini susulan perbincangan awam yang dicetuskan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang mengeluarkan pelan dan laporan alam sekitar dan warisan yang disertakan untuk kawasan tersebut pada 10 Julai.

Encik Tan berkata pemerintah menerbitkan Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) dan Penilaian Kesan Warisan (HIA) supaya orang ramai boleh mengkajinya, berkongsi pandangan mereka, dan membantu pemerintah membentuk pelan pembangunan akhir.

Beliau menyatakan bahawa walaupun rakyat Singapura menghargai warisan dan ruang hijau, mereka juga mahukan generasi akan datang mempunyai akses kepada perumahan awam yang mampu dimiliki, serta hospital, sekolah, dan tempat untuk bekerja dengan jalan raya dan pengangkutan awam untuk bergerak.

“Saya berharap kita mempunyai banyak tanah, jadi kita boleh menyediakan semua ini tanpa perlu membuat pertimbangan. Tetapi itu bukanlah realiti kita.

“Pilihan kita lebih sempit berbanding pilihan yang dihadapi oleh negara-negara yang lebih besar. Oleh itu, kita perlu menggunakan tanah kita yang terhad dengan sebaik mungkin.

“Itulah sebabnya kita merancang beberapa dekad ke hadapan, untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura hari ini sambil mengekalkan pilihan yang mencukupi untuk generasi akan datang,” kata Encik Tan.

Beliau menambah bahawa pemerintah menyemak Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) setiap lima tahun melalui latihan rundingan awam utama untuk memastikan ia kekal relevan dengan keperluan Singapura yang berubah-ubah.

Walaupun pengezonan tapak mencerminkan niat perancangan jangka panjangnya, Encik Tan berkata waktu untuk memulakan pembangunan tapak bergantung pada keperluan negara, ketersediaan alternatif, dan sama ada infrastruktur sokongan sudah sedia.

Dalam rangka kerja ini, Encik Tan berkata pemerintah akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan tapak yang mempunyai nilai kehijauan dan warisan yang ketara.

Walau bagaimanapun, apabila tiada tapak lain yang sesuai dapat memenuhi keperluan yang sama, di kawasan yang sama, dan dalam jangka masa yang diperlukan, Encik Tan berkata pemerintah perlu membuat pertimbangan dengan teliti.

Selama hampir 80 minit di Parlimen, Encik Tan menjawab soalan lebih 18 soalan yang difailkan oleh AP, termasuk soalan yang difailkan oleh AP buat sesi akan datang.

Beliau juga menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh sembilan AP, termasuk oleh AP Parti Pekerja (WP) – Encik Dennis Tan (Hougang), Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied), Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) – dan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low dan Cik Eileen Chong.

Menjawab soalan tentang bilangan rumah yang akhirnya akan disediakan di Sunset Way dan Gillman Barracks, Encik Tan berkata beliau tidak dapat memberikan angka yang tepat kerana susun atur, skala dan reka bentuk terperinci masih belum dimuktamadkan.

“Dalam pelan konseptual semasa kami, kami telah mengurangkan bilangan rumah untuk mengekalkan kawasan hijau dan warisan penting yang dikenal pasti melalui kajian.

“Jika kami memulihara lebih banyak lagi, kami akan membina lebih sedikit rumah. Jadi kami mesti membuat pertimbangan ini dengan teliti sebelum mencapai keputusan muktamad,” kata Encik Tan.