Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amalan simbolik ‘tokenism’ tiada tempat dalam SAF

Jun 27, 2025 | 6:30 PM
Chun Sing, Hari SAF, Tokenisme tiada tempat dalam SAF
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kanan), berkata tokenisme atau amalan simbolik tidak mempunyai tempat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kerana ia satu bentuk ketidakadilan kepada anggota yang memakai seragam SAF dan melaksanakan tanggungjawab mereka. - Foto ST

Tokenisme atau tindakan simbolik khusus untuk sesebuah kumpulan, tidak mempunyai tempat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Ini memandangkan ia satu bentuk ketidakadilan kepada anggota yang memakai seragam SAF dan melaksanakan tanggungjawab mereka, katanya.

“SAF tidak akan melaksanakan amalan simbolik atau tokenisme ke atas mana-mana jabatan.”

Encik Chan berkongsi demikian di ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam wawancara sulungnya sebagai Menteri Pertahanan sempena Hari SAF baru-baru ini.

Beliau menambah peralihan kepimpinan atau jawatan kanan di SAF – sama ada anggota itu adalah daripada golongan minoriti atau sebaliknya – adalah usaha berterusan dan tidak terhad pada satu-satu masa sahaja.

Yang menjadi pertimbangan utama di sebalik kaedah SAF memilih dan mengerahkan anggotanya, jelas beliau, adalah keupayaan anggota menjalankan tugas dan hasil pengerahan optimum – sama ada anggota terbabit merupakan daripada golongan minoriti bukanlah sesuatu yang menjadi pertimbangan.

Beliau berkata barisan kepimpinan dan pegawai kanan yang ada kini adalah hasil daripada usaha SAF mengenal pasti dan memupuk bakat yang diperlukan sejak 20 tahun lalu.

Menyentuh mengenai anggota yang bakal dinaikkan pangkat bagi jawatan kanan SAF mulai 1 Julai, beliau berkata ia merupakan “hasil usaha berterusan yang dilakukan” dan SAF akan terus memperluaskan usaha pengambilan bakat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata ia bak sirih pulang ke gagang apabila kembali ke Mindef bagi menggalas tanggungjawab Menteri Pertahanan – mengambil alih daripada Dr Ng Eng Hen, yang bersara daripada arena politik pada 2025.

Mentelah Encik Chan sebelum ini pernah menjadi Panglima Tentera Darat (COA) sebelum meletak jawatan pada 2011 untuk menyertai politik pada Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011) – beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Kedua Pertahanan dari 2013 hingga 2015.

Beliau berkata satu perkara yang masih kekal hingga kini yang beliau perhatikan adalah sistem nilai yang masih utuh dan dipegang teguh.

“Perkara pertama yang SAF tidak ubah dan tidak akan banyak berubah adalah sistem nilai… iaitu nilai seperti menjaga (kemaslahatan) anggota di bawah tanggungjawab anda dan mengutamakan negara, mendahului diri sendiri,” ujarnya.

Ini di samping semangat dan kesungguhan SAF untuk sentiasa mencari penyelesaian terhadap cabaran atau ancaman yang mungkin timbul pada masa hadapan, sekali gus menunjukkan usaha SAF untuk “terus mempertingkatkan keupayaan”.

Lebih-lebih lagi dengan landskap keselamatan yang tidak menentu dan ancaman yang pesat berubah, beliau berkata SAF harus sentiasa berubah dalam cara ia bertempur – baik dari segi taktik mahupun teknologi, tambah Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg