Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOU bantu banduan terima sokongan bina semula hidup melalui pekerjaan

Dec 19, 2025 | 8:50 PM
MOU,  Pengerusi Dana Pembangunan Warga SIM, reben kuning singapura, banduan, integrasi
Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani oleh Pengerusi Dana Pembangunan Warga SIM (SIMPDF), Encik Patrick Tay Teck Guan (duduk, kiri); dan Ketua Pegawai Eksekutif Reben Kuning Singapura (YRSG), Encik Sunny Lee (duduk, kanan); pada 19 November. Ia disaksikan (diri, dari kiri) Pengarah Eksekutif SIMPDF, Cik Faith Sudharman-Chan; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Pengarah Eksekutif, Kumpulan Integrasi Semula, YRSG, Cik Rosanna Yam. - Foto ZAOBAO

Dana Pembangunan Warga SIM (SIMPDF) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) selama tiga tahun bersama Reben Kuning Singapura (YRSG) untuk bekerjasama dalam menyokong banduan membina semula kehidupan mereka dalam masyarakat melalui pekerjaan.

Di bawah MOU itu, SIMPDF – melalui Anugerah Kemajuan daripada dana itu – akan menganugerahkan $600 kepada setiap banduan yang berjaya melengkapkan latihan kemahiran dalam pelbagai sektor hingga berjaya mendapat pekerjaan.

Ini termasuk bidang runcit, perkhidmatan makanan, kecantikan dan kesejahteraan, serta perkhidmatan persekitaran.

SIMPDF telah memberi komitmen pembiayaan sehingga $150,000 bagi inisiatif tersebut, yang berkuat kuasa dari 2026 hingga 2028.

Daya usaha itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 80 banduan yang mengikuti Program Berasaskan Masyarakat (CBP) setiap tahun.

Program tersebut membolehkan individu yang layak menjalani baki hukuman mereka di luar penjara, di bawah pengawasan, sambil menerima sokongan untuk menyesuaikan diri sedang mereka membina semula kehidupan dalam masyarakat melalui pekerjaan.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir sebagai tetamu terhormat di majlis pemeteraian MOU itu yang berlangsung di Politeknik Temasek (TP) pada 19 Disember.

Berucap di majlis itu, beliau berkata: “Perkongsian hari ini mencerminkan satu komitmen terhadap harapan, kepercayaan terhadap potensi insan, serta satu isyarat jelas bahawa Singapura berdiri teguh menyokong mereka yang memilih untuk membina semula kehidupan mereka.

“MOU ini menyatukan dua misi: Memastikan setiap warga Singapura, tidak kira latar belakang, diberi peluang yang adil untuk meningkatkan kemahiran, memperoleh pekerjaan yang bermakna, dan membina masa depan yang lebih baik,” tambah beliau, yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Pengerusi SIMPDF, Encik Patrick Tay, berkata kerjasama antara SIMPDF dengan YRSG itu memperkukuhkan misi dana tersebut dalam membantu warga Singapura merealisasikan potensi kerjaya sepenuhnya melalui akses kepada pelbagai laluan pembelajaran, pengalaman dan peluang pekerjaan.

“Dengan menyokong komitmen mereka (banduan) terhadap perkembangan dan daya tahan, kami dapat memupuk sebuah masyarakat inklusif, di mana setiap individu mempunyai peluang bersepadu semula, membina mata pencarian yang mampan dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” kata beliau.

Semasa majlis tersebut, 23 banduan yang telah tamat menjalani Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP) diberikan Anugerah Kemajuan SIMPDF itu.

Mereka telah mengikuti program dalam bidang pakar perkhidmatan persekitaran, yang dibangunkan TP.

Dijalankan dari Mei hingga Disember, program tersebut menampilkan model hibrid, di mana latihan diadakan di Kompleks Penjara Changi sebelum ia diteruskan di kampus TP.

Ia dilakukan tatkala peserta menetap di rumah peralihan atau berada di bawah pengawasan.

Program tersebut melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pengalaman kerja sebenar, mempersiapkan mereka bagi menggalas peranan teknikal serta kepimpinan, seperti penyelia pembersihan dan ketua pasukan.

Seramai 19 peserta daripada program tersebut telah ditawarkan pekerjaan dalam satu pameran pekerjaan anjuran TP dan Persatuan Pengurusan Persekitaran Singapura baru-baru ini.

Mulai April 2026, YRSG akan memperluaskan laluan latihan untuk membolehkan lebih ramai banduan mengejar peluang dalam sektor pilihan mereka.

Kursus latihan yang ditawarkan akan merangkumi program SCTP dan tawaran lain daripada Pusat Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET), termasuk institusi pengajian tinggi seperti politeknik.

Ini akan menyediakan kemahiran yang diperlukan untuk peralihan lancar ke alam pekerjaan.

Setelah berjaya menamatkan program dan ditempatkan dalam industri berkaitan, peserta akan dianugerahkan Anugerah Kemajuan SIMPDF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg